PBAKL2026: LEBIH 10 RIBU TAJUK BUKU AKADEMIK DAN ILMIAH JADI TARIKAN PENGUNJUNG KE PAVILION MAPIM

PBAKL2026: LEBIH 10 RIBU TAJUK BUKU AKADEMIK DAN ILMIAH JADI TARIKAN PENGUNJUNG KE PAVILION MAPIM

29 Mei 2026 | Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 terus menjadi pentas pengukuhan budaya ilmu negara apabila Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) membawa lebih 10 ribu tajuk buku akademik dan ilmiah kepada para pengunjung.

Pavilion MAPIM yang berlangsung di Dewan Tun. Dr. Ismail WTCKL menghimpunkan penerbitan daripada 23 buah Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta tempatan merangkumi lebih 140 bidang dan disiplin ilmu.

Usai majlis perasmian pagi tadi, Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir turut meluangkan masa mengunjungi pavilion berkenaan.

Penyertaan berskala besar yang dijayakan bersama Yayasan Perkasa Siswa (YPS) itu membuktikan keupayaan IPT tempatan dalam menghasilkan penerbitan ilmiah berkualiti tinggi yang mampu menjadi rujukan masyarakat, penyelidik, mahasiswa dan industri.

Antara aktiviti yang mengisi pentas Pavilion MAPIM sehingga 7 Jun nanti ialah program bedah buku KPT, iaitu Telaah, yang akan menampilkan barisan akademia serta pengarang naskhah ilmiah terkemuka tanah air.

Selain menawarkan bahan bacaan akademik, Pavilion MAPIM turut menjadi pusat sehenti informasi KPT menerusi pelbagai sesi konsultasi dan khidmat nasihat pendidikan tinggi kepada orang ramai, seperti konsultasi kemasukan ke Universiti Awam, politeknik, kolej komuniti serta permohonan rayuan UPUOnline®️.

Pengunjung juga boleh mendapatkan maklumat berkaitan pinjaman dan bayaran balik PTPTN, simpan SSPN, pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL), penawaran biasiswa dan bantuan kewangan KPT, serta beramah mesra dengan para pelajar antarabangsa di Malaysia.

Pelaksanaan pelbagai aktiviti di pavilion berkenaan selari dengan aspirasi KPT untuk mendekatkan perkhidmatan pendidikan tinggi kepada masyarakat melalui pendekatan lebih inklusif dan mesra rakyat.

Dalam masa yang sama, kerjasama strategik MAPIM bersama Patriots Publishing Sdn. Bhd.,IBDE, dan Pelita Dhihin turut memperkayakan pilihan bahan bacaan kepada pengunjung Pavilion MAPIM di PBAKL2026.

Pavilion MAPIM dijangka menjadi antara tarikan utama sepanjang PBAKL2026 yang berlangsung mulai 29 Mei hingga 7 Jun depan menerusi gabungan penerbitan ilmiah, perkongsian ilmu dan perkhidmatan pendidikan tinggi di bawah satu bumbung. 

  • Last updated on .
  • Hits: 138
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 15 Jun 2026, 10:03:49.

logo-sirim