Obor AUG 2026 Simbol Semangat Malaysia di Pentas ASEAN

20 Ogos 2026 | Putrajaya
Larian Obor Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026 yang bermula di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) petang tadi menjadi simbol semangat kontinjen Malaysia untuk mengharumkan nama negara di pentas sukan universiti ASEAN.
Majlis simbolik penyerahan obor itu berlangsung bersempena Perhimpunan Bulanan KPT di Dewan Za’ba dengan Menteri Pendidikan Tinggi YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir turut menyampaikan amanat kepada atlet Malaysia.
Dalam amanatnya, beliau menyeru atlet membawa semangat kemenangan serta menggalas tanggungjawab membawa nama Malaysia ketika bersaing di peringkat ASEAN.
“Bawalah obor Malaysia dan obor kemenangan itu kerana saudara juga membawa obor negara kita, Malaysia,” katanya.
Pada majlis itu, YB Menteri menyerahkan obor AUG 2026 kepada Ketua Kontinjen Malaysia, Prof. Dr. Mohammad Ismail, yang merupakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Diiringi empat (4) atlet kebangsaan iaitu Andre Anura Anuar (lompat jauh - UPM), Nani Sahirah Maryata (lontar peluru - UPM), Thevendran Kaliana Sundram (karate - UPNM) dan Lee Hui Yee (taekwondo - Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah).
Larian obor kemudiannya dilepaskan dari pekarangan KPT ke Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebelum kembali ke KPT sebagai sebahagian daripada perjalanan obor ke beberapa institusi pendidikan tinggi terpilih.
AUG 2026 yang berlangsung dari 10 hingga 19 Disember menghimpunkan kira-kira 4,669 peserta termasuk 2,849 atlet dan pegawai daripada 11 negara, selain 700 pengadil dan pegawai pertandingan serta 920 sukarelawan.
Sebanyak 19 sukan dipertandingkan dalam dua fasa di Shah Alam, Kuala Lumpur, Serdang dan Bangi dengan tema HOLISTIC.EXCELLENCE, manakala larian obor akan diteruskan ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
AUG 2026 akan membuka tirai secara rasmi pada 12 Disember di Stadium UiTM, Shah Alam sebelum melabuhkan tirai pada 19 Disember di Dewan Tunku Canselor, UM, menjadikan larian obor hari ini sebagai langkah awal menuju temasya sukan universiti ASEAN berkenaan.
- Last updated on .
- Hits: 42
