Mesut Özil Gegar USM, Bakar Semangat The Gunners di Pulau Pinang

Mesut Özil Gegar USM, Bakar Semangat The Gunners di Pulau Pinang

29 April 2026 | Georgetown, Pulau Pinang

Universiti Sains Malaysia (USM) bertukar menjadi lautan merah putih apabila bekas maestro Arsenal, Mesut Özil, hadir menyantuni mahasiswa serta peminat bola sepak tempatan menerusi program berprestij anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Ketika Arsenal terus menyalakan harapan untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, kehadiran Özil menjadi simbol semangat juang dan legasi yang masih segar dalam jiwa para penyokong setia The Gunners.

Nama Özil cukup sinonim dengan kreativiti luar biasa di atas padang, visi permainan kelas dunia serta sentuhan magis yang pernah menjadikan beliau antara pemain tengah paling berpengaruh di Eropah sepanjang bersama Arsenal dan Real Madrid.

Melalui program “Inspiring Excellence Through Sport”, mahasiswa berpeluang mendengar sendiri kisah jatuh bangun karier pemain legenda itu, termasuk pengalaman bersaing di pentas tertinggi bola sepak dunia serta kejayaan menjulang Piala Dunia 2014 bersama Jerman.

Suasana bertambah hangat apabila para penyokong menyerbu sesi “Meet and Greet” untuk mendapatkan tandatangan, bergambar dan berkongsi kenangan bersama idola mereka.

Sorakan demi sorakan terus bergema ketika sesi Klinik Bola Sepak berlangsung di tengah padang, memperlihatkan betapa besarnya pengaruh Özil terhadap generasi muda, khususnya peminat bola sepak yang membesar dengan menyaksikan aksi beliau.

Lebih menarik, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir turut mencabar Özil dalam pertandingan sepakan penalti yang menceriakan suasana program.

KPT menjadikan penganjuran program ini sebagai usaha memperkasa pembangunan mahasiswa secara holistik melalui inspirasi sukan bertaraf dunia yang mampu membentuk jati diri, disiplin dan daya tahan kepimpinan.

Lebih daripada sekadar sesi santai bersama legenda bola sepak, program ini turut memperkukuh jaringan antarabangsa antara Malaysia dan Republik Türkiye dalam sektor pendidikan tinggi.

Kehadiran Özil merupakan sebahagian daripada delegasi rasmi Republik Türkiye sempena Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama Pendidikan Tinggi Malaysia–Republik Türkiye yang berlangsung dari 27 hingga 29 April 2026.

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Adam Adli Abd Halim, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; serta Naib Canselor USM, Dato’ Seri Prof. Ir. Dr. Abdul Rahman. 

  • Last updated on .
  • Hits: 93
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 30 April 2026, 06:34:40.

logo-sirim