Lawatan Rasmi KSU ke TSU Pacu Kerjasama Penyelidikan, Inovasi Malaysia-Rusia

1 Mei 2026 | Tomsk, Rusia
Usaha memperkukuh jaringan penyelidikan dan inovasi antara Malaysia dan Persekutuan Rusia terus dipergiat apabila Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Anesee Ibrahim bersama delegasi rasmi mengadakan lawatan kerja ke National Research Tomsk State University (TSU), salah satu institusi penyelidikan terkemuka di Rusia.
Dalam lawatan tersebut, delegasi Malaysia telah mengadakan sesi perbincangan strategik bersama Rektor TSU, Dr. Eduard V. Galazhinskiy, yang memberi tumpuan kepada pengembangan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan berimpak tinggi, inovasi teknologi serta pembangunan akademik antara kedua-dua negara.
Ditubuhkan pada tahun 1878, TSU merupakan universiti tertua di wilayah Siberia dan memainkan peranan penting sebagai Universiti Penyelidikan Kebangsaan Rusia. Sebagai peneraju program Priority 2030, universiti ini terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab kecemerlangan penyelidikan global, khususnya dalam bidang sains, teknologi dan pembangunan pengetahuan.
Perbincangan bilateral tersebut menekankan potensi kolaborasi strategik termasuk pertukaran penyelidik, pembangunan program bersama, serta penerokaan projek inovasi yang mampu memberi impak kepada pembangunan sosioekonomi kedua-dua negara. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Malaysia untuk memperkasa ekosistem penyelidikan dan pendidikan tinggi bertaraf antarabangsa.
Lawatan ini turut mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperluas jaringan akademik global, khususnya di rantau Eurasia, di samping memperkukuh diplomasi pendidikan sebagai pemangkin kepada perkongsian ilmu dan teknologi.
Dalam rangka lawatan tersebut, KSU juga berkesempatan bertemu dengan satu-satunya pelajar Malaysia di Tomsk yang kini sedang mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di TSU, sekali gus menzahirkan sokongan berterusan terhadap pembangunan modal insan berkemahiran tinggi di peringkat antarabangsa.
- Last updated on .
- Hits: 29
