Lawatan Kerja KSU KPT ke Rusia Perkukuh Hubungan Strategik Pendidikan Tinggi Malaysia–Rusia

Lawatan Kerja KSU KPT ke Rusia Perkukuh Hubungan Strategik Pendidikan Tinggi Malaysia–Rusia

27 April 2026 I Moscow, Rusia

Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Dr. Anesee bin Ibrahim telah memulakan lawatan kerja ke Rusia dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama (TYT) Duta Besar Malaysia ke Rusia di Kedutaan Besar Malaysia, Moscow.

Lawatan tersebut diteruskan dengan sesi pertemuan bersama barisan pemimpin pelajar Malaysia serta para penerima biasiswa Rusia. Dalam suasana santai, YBhg. Datuk Dr. KSU meluangkan masa untuk mendengar sendiri pandangan, cabaran, dan keperluan para pelajar, khususnya berkaitan aspek kebajikan, keselamatan serta kelancaran urusan akademik mereka di sana.

Maklum balas yang diperoleh akan diangkat sebagai agenda dalam Mesyuarat Kumpulan Kerja Ke-3 bagi Pendidikan, Sains dan Teknologi di bawah Suruhanjaya Bersama Malaysia–Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan (JCESTC) yang dijadualkan berlangsung di Tomsk pada 28 April 2026. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan KPT dalam memastikan suara dan kebajikan pelajar diberi perhatian sewajarnya dalam perbincangan serta kerjasama di peringkat antarabangsa.

Antara fokus utama yang akan dibincangkan termasuk draf perjanjian antara kerajaan (G2G) berkaitan kerjasama pendidikan tinggi serta pengiktirafan bersama kelayakan dan ijazah akademik antara kedua-dua negara. Selain itu, mesyuarat ini turut memberi penekanan kepada pengukuhan kolaborasi penyelidikan dan penerokaan peluang kerjasama baharu dalam bidang pendidikan.

Lawatan kerja ini turut disertai oleh wakil-wakil daripada Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). 

  • Last updated on .
  • Hits: 197
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 30 April 2026, 06:34:40.

logo-sirim