Kunjungan Hormat Wakil UNESCO dan Commonwealth Tertiary Education Facility (CTEF) Ke KPT

30 Oktober 2026 l Putrajaya
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Pejabat Serantau Pelbagai Sektor UNESCO di Jakarta merangkap Wakil UNESCO ke Indonesia, Brunei Darussalam, Malaysia, Filipina dan Timor-Leste serta Liaison to ASEAN, Puan Maki Katsuno-Hayashikawa, diiringi Pengarah Commonwealth Tertiary Education Facility (CTEF), Associate Professor Dr. Thien Lei Mee.
Pertemuan tersebut telah dipengerusikan oleh YBrs. Encik Ahmad Rizal Adnan, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), KPT.
Kunjungan hormat ini diadakan bersempena penganjuran Commonwealth Tertiary Education Facility (CTEF) Symposium 2026 yang telah berlangsung pada 29 Oktober 2026 bertempat di Zenith Hotel, Putrajaya. Simposium tersebut menjadi platform penting untuk menghimpunkan pemegang taruh pendidikan tinggi bagi membincangkan isu, cabaran dan hala tuju pendidikan tinggi dalam kalangan negara-negara Komanwel, di samping meneroka pendekatan baharu dalam memperkukuh kerjasama serta perkongsian kepakaran.
Pertemuan ini turut menjadi ruang untuk bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa pendidikan tinggi serta meneroka potensi kerjasama strategik antara KPT, UNESCO dan CTEF.
Perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan institusi, memperluas jaringan kolaborasi antarabangsa serta mengenal pasti peluang kerjasama yang boleh memberikan manfaat kepada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan warga akademik.
Selain itu, hubungan kerjasama dengan organisasi antarabangsa seperti UNESCO dan CTEF turut membuka ruang kepada Malaysia untuk terus menyumbang kepakaran, berkongsi amalan terbaik serta memainkan peranan lebih aktif dalam agenda pembangunan pendidikan tinggi di peringkat serantau dan global.
KPT kekal komited untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa dalam usaha membangunkan ekosistem pendidikan tinggi yang berdaya saing, inklusif dan berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi pendidikan tinggi negara.
Turut hadir ialah wakil-wakil pegawai daripada Bahagian dan Jabatan yang berkaitan di bawah KPT.
- Last updated on .
- Hits: 38
