Kunjungan Hormat Ketua Perwakilan Malaysia Perkukuh Hubungan Strategik Pendidikan Tinggi

22 Oktober 2026 I Putrajaya
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menerima kunjungan hormat daripada Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia yang bakal menggalas amanah baharu di luar negara iaitu Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada, YBrs. Amb. John K. Samuel dan Duta Besar Malaysia ke Republik Islam Iran, YBhg. Dato’ Wan Aznainizam Yusri Wan Abdul Rashid.
Pertemuan ini menjadi medan penting bagi bertukar pandangan dalam usaha memperkasakan hubungan dua hala, khususnya menerusi perluasan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan, inovasi, dan pembangunan modal insan.
Peranan Ketua Perwakilan Diplomatik amat penting sebagai jambatan penghubung untuk meneroka peluang baharu, sekali gus memartabatkan keupayaan serta kecemerlangan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) negara di persada antarabangsa.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menaruh harapan tinggi agar jaringan diplomatik ini terus dimanfaatkan sebagai pemangkin kepada pengantarabangsaan pendidikan tinggi. Ini termasuklah melalui:
🔹Peluasan mobiliti pelajar dan ahli akademik;
🔹Penyelidikan bersama serta perkongsian kepakaran; dan
🔹Kerjasama institusi yang berimpak tinggi dan mampan.
Inisiatif ini mendokong penuh aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 untuk memantapkan kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi antarabangsa yang berdaya saing, di samping memperluas akses kepada jaringan ilmu, teknologi, dan inovasi global.
KPT merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas komitmen kedua-dua Ketua Perwakilan Diplomatik. Semoga penugasan baharu ini membuka lembaran baharu dalam memperkukuh hubungan diplomatik serta memperluas kerjasama strategik yang membawa manfaat bersama kepada Malaysia dan negara-negara sahabat.
Selamat menjalankan tugas dan selamat maju jaya demi kepentingan negara!
- Last updated on .
- Hits: 105
