Kunjungan Hormat Bangladesh Institute of Islamic Thought (BIIT): Mencetus Wacana Pendidikan Tinggi Bersepadu

17 Julai 2026 I Putrajaya
YB Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Bangladesh Institute of Islamic Thought (BIIT) yang diketuai oleh Ketua Pengarah BIIT, Prof. Dr. M. Abdul Aziz di Putrajaya hari ini.
Dalam sesi tersebut, delegasi BIIT telah memperkenalkan penubuhan University of Integrated Thought (UIT), yang merupakan komponen utama di bawah inisiatif pembangunan Bandar Ilmu oleh BIIT. Inisiatif ini dirancang sebagai sebuah hab komprehensif yang mengintegrasikan pendidikan, pengajaran dan latihan, penyelidikan, serta pembangunan pemikiran dan penglibatan intelektual.
Kunjungan hormat ini juga bertujuan mendapatkan pandangan serta maklum balas Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhubung penubuhan UIT, khususnya dari aspek pembangunan kurikulum, pembangunan akademik, tadbir urus institusi dan pengurusan universiti. Di samping itu, kedua-dua pihak turut membincangkan potensi kerjasama strategik antara Malaysia dan Bangladesh dalam memperkukuh pendidikan tinggi, khususnya melalui pembangunan pendidikan tinggi bersepadu yang berteraskan nilai-nilai Islam, keimanan dan kecemerlangan akademik.
Pendekatan 'integrated study' atau pengajian bersepadu yang diketengahkan oleh UIT merupakan suatu pendekatan pendidikan tinggi yang menggabungkan pelbagai disiplin ilmu secara holistik. Pendekatan ini menekankan integrasi antara ilmu wahyu dan ilmu kontemporari, pembangunan sahsiah, pemikiran kritis serta kemahiran profesional, sejajar dengan perkembangan dan trend semasa dalam landskap pendidikan tinggi global.
Hadir sama dalam sesi ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Hubungan Antarabangsa, YBhg. Datin Noorazah Omar.
- Last updated on .
- Hits: 31
