KSU Mahu KPT Jadi ‘A Team’, Warga Pelaksana Tunjang Kecemerlangan Organisasi

KSU Mahu KPT Jadi ‘A Team’, Warga Pelaksana Tunjang Kecemerlangan Organisasi

10 Ogos 2026 | Putrajaya

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim mahu seluruh warga kementerian membina KPT sebagai sebuah pasukan ‘A-Team’ yang mampu menghasilkan prestasi kerja pada tahap luar biasa.

Menurut beliau, hasrat itu perlu diterjemahkan menerusi budaya kerja yang menekankan kecekapan, kerjasama dan kesungguhan setiap warga dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Dalam konteks itu, peranan Kumpulan Pelaksana turut diberi perhatian kerana kumpulan berkenaan menjadi tulang belakang kepada kelangsungan operasi harian KPT.

Beliau berkata kekuatan sesebuah organisasi tidak hanya bergantung kepada kepimpinan tertinggi, sebaliknya memerlukan penglibatan semua peringkat warga untuk memastikan setiap tugasan dapat dilaksanakan dengan baik.

Pendekatan tersebut turut diterjemahkan menerusi sesi soal jawab bersama warga pelaksana KPT yang memberi ruang kepada mereka mengemukakan pandangan, persoalan dan perkara yang berkaitan dengan persekitaran kerja secara terus kepada YBhg. Datuk Ts. Dr. KSU.

Sesi berkenaan menjadi sebahagian daripada Program Nasi Lemak Kopi O Bersama KSU KPT 2026 yang diadakan di Dewan Za’ba KPT petang tadi.

Program yang dianjurkan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) itu dirangka sebagai medium perkongsian secara santai antara YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. KSU dengan warga pelaksana, selain mendengar suara dan pandangan mereka.

Menerusi pendekatan itu, warga pelaksana berpeluang berinteraksi secara lebih dekat dengan YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin dalam suasana santai, sekali gus membuka ruang kepada pertukaran pandangan berkaitan tugas dan organisasi.

Penganjuran program itu turut memberi ruang kepada beliau mendapatkan pandangan secara langsung daripada kumpulan yang terlibat dalam pelaksanaan operasi harian KPT.

  • Last updated on .
  • Hits: 134
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 12 Ogos 2026, 02:43:53.

logo-sirim