KSU KPT Seru POLYCC Jadi Rujukan Industri, Terus Lahirkan Graduan TVET Berkualiti

29 Oktober 2026 | Ipoh, Perak
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim menyeru pengurusan politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) supaya merangka strategi lebih berani dan berasaskan data bagi menjadikan institusi itu sebagai rujukan utama industri dalam penyediaan bakat teknikal negara.
Beliau berkata, POLYCC perlu membuktikan kerelevanannya melalui kualiti graduan, kepakaran yang memenuhi keperluan industri serta hasil yang dapat diukur bagi memastikan institusi itu terus menjadi pilihan majikan dan pemain industri.
Menurutnya, hubungan erat dengan industri perlu menghasilkan graduan yang bukan sahaja menguasai pengetahuan teori, malah mempunyai keyakinan, disiplin, integriti dan keupayaan menyesuaikan diri dengan persekitaran pekerjaan sebenar.
Sehubungan itu, pendekatan Pembelajaran Berasaskan Kerja (Work-Based Learning, WBL) perlu dikembangkan secara dinamik dengan mengambil kira perubahan teknologi, keperluan pasaran pekerjaan serta kaedah pembelajaran baharu yang bersesuaian dengan perkembangan industri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Kecemerlangan WBL POLYCC sempena lawatan kerja beliau ke Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini hari ini.
Lawatan kerja itu merangkumi tinjauan ke Makmal Digital Cubix, penginapan pelajar Kolej Sinergi, Jabatan Kejuruteraan Perkapalan, Makmal Fizik di Jabatan Matematik, Sains dan Komputer (JMSK) serta fasiliti CARE-Daikin bagi melihat kemudahan pembelajaran, prasarana dan pendedahan industri yang disediakan kepada pelajar.
YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin berkata, penubuhan Pusat Kecemerlangan WBL POLYCC perlu disusuli penyelidikan, pembangunan kepakaran dan perkongsian amalan terbaik secara berterusan bagi memastikan pelaksanaannya memberikan manfaat nyata kepada institusi pendidikan dan industri.
Pusat yang berpusat di PUO itu berperanan sebagai hab rujukan nasional untuk menyelaras dan memantau pelaksanaan WBL, termasuk memastikan standard kualiti latihan, kompetensi pensyarah dan mentor industri serta pengurusan berasaskan data diberi perhatian.
Pelaksanaan WBL dalam ekosistem POLYCC bermula di kolej komuniti pada 2007 sebelum diperluas ke politeknik pada 2008, dengan pendekatan itu kini melibatkan 25 buah institusi terdiri daripada 11 buah politeknik dan 14 buah kolej komuniti di seluruh negara.
Lawatan kerja yang disertai Ketua Pengarah JPPKK, Dr. Shamsuri Abdullah; serta Pengarah PUO, Dr. Hajah Salmi Che Meh itu turut menyaksikan perasmian Pusat Kecemerlangan WBL POLYCC dan penganjuran Sidang Kemuncak Pembelajaran Berasaskan Kerja POLYCC 2026 yang menghimpunkan lebih 500 orang peserta bagi perkongsian kepakaran, pameran inovasi serta jaringan kerjasama antara institusi TVET dengan industri.
- Last updated on .
- Hits: 45
