KPT Terima Penarafan ‘Platinum’ Bagi Pengurusan Aduan Awam

KPT Terima Penarafan ‘Platinum’ Bagi Pengurusan Aduan Awam

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sekali lagi mengekalkan momentum kecemerlangan dalam penilaian pengurusan aduan awam tahun 2025 dengan meraih penarafan ‘Platinum’ yang dilaksanakan oleh Biro Pengaduan Awam (BPA), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Majlis Penarafan Pengurusan Aduan Awam Tahun 2025 telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan pengiktirafan berprestij ini telah diterima oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan mewakili Kementerian.

Penarafan ‘PLATINUM’ yang diperolehi merupakan pengiktirafan tertinggi hasil daripada prestasi cemerlang kementerian dalam pengurusan aduan awam secara holistik. Pencapaian ini membuktikan komitmen berterusan KPT dalam memperkukuh tadbir urus penyampaian perkhidmatan yang responsif, telus dan berintegriti.

Kejayaan ini juga menjadi bukti keberkesanan strategi KPT dalam memperkukuh keberhasilan transformasi pengurusan aduan melalui penggunaan sistem aduan bersepadu, pemantauan berterusan, serta pelaksanaan tindakan susulan yang berfokuskan penyelesaian mesra pelanggan.

Seiring dengan aspirasi kerajaan, KPT sentiasa memberi penekanan kepada nilai ketelusan, akauntabiliti dan integriti dalam setiap aspek pengurusan aduan. Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap sistem penyampaian perkhidmatan, malah meningkatkan reputasi KPT sebagai kementerian yang prihatin terhadap suara rakyat.

KPT turut mengiktiraf peranan serta komitmen padu semua warga kerja Kementerian/ Jabatan dan Agensi di bawah KPT yang telah memberikan kerjasama bersepadu dalam mengurus, memantau dan menambah baik setiap aduan yang diterima.dan kejayaan ini adalah hasil usaha kolektif seluruh warga KPT.

KPT akan terus melaksanakan pelbagai strategi penambahbaikan secara berterusan agar pengurusan aduan awam bukan sahaja menjadi mekanisme penyelesaian masalah, malah wadah untuk menambah baik mutu perkhidmatan pendidikan tinggi negara demi kesejahteraan rakyat.

Hadir sama, Ketua Komunikasi Korporat, Mohamad Hafizi Rosli dan pengawai-pegawai penyelaras di KPT.

Syabas dan setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua warga KPT, Jabatan dan Agensi di bawah KPT atas kejayaan ini. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 474
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 24 Oktober 2025, 04:17:19.

logo-sirim