KPT Rai Kejayaan Atlet IPT, Sumbang Dominasi Malaysia di Pentas Antarabangsa

KPT Rai Kejayaan Atlet IPT, Sumbang Dominasi Malaysia di Pentas Antarabangsa

21 April 2026 | Putrajaya

Kejayaan atlet Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) terus mendapat pengiktirafan apabila Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini menyampaikan Insentif Kecemerlangan Atlet IPT 2025 kepada atlet yang mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pengiktirafan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam menghargai kecemerlangan mahasiswa yang seimbang dalam akademik dan sukan.

“Insentif ini bukan sekadar ganjaran, tetapi pemangkin kepada lebih ramai atlet IPT untuk terus melakar kejayaan di peringkat tertinggi,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di sini hari ini.

Atlet IPT sebelum ini mencatat pencapaian membanggakan di Sukan Universiti Dunia di Rhine-Ruhr, Jerman dengan meraih pingat serta mencipta dua rekod kebangsaan baharu.

Mereka turut menjadi tulang belakang kejayaan kontinjen negara di Sukan SEA Bangkok apabila menyumbang 31 pingat emas, 20 perak dan 36 gangsa.

Dalam pada itu, atlet para IPT terus menyerlah di Sukan Para ASEAN di Korat, Thailand dengan pencapaian empat emas serta tiga rekod kejohanan.

Menurut beliau, penganjuran Sukan Universiti ASEAN (AUG) Disember ini dijangka menjadi platform penting untuk menonjolkan keupayaan atlet IPT di laman sendiri.

Sementara itu, Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) di Universiti Malaya pada Ogos depan akan dijadikan medan pemilihan atlet terbaik bagi mewakili negara.

Selain itu, penghargaan turut dizahirkan atas sinergi antara KPT dengan badan-badan sukan seperti MASUM, MSP, MASKOM, dan MASISWA yang merupakan faktor utama menyumbang kepada kemampanan prestasi atlet pelajar, termasuklah kepada MSN dan MOM, atas kerjasama teknikal serta penyelarasan atlet elit IPT di peringkat antarabangsa.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Adam Adli Abd Halim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato’ Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; serta Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah. 

  • Last updated on .
  • Hits: 112
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 24 April 2026, 08:22:27.

logo-sirim