KPT Perkukuh Jati Diri Mahasiswa Menerusi Reformasi Strategik Kurikulum Mata Pelajaran Pengajian Umum

KPT Perkukuh Jati Diri Mahasiswa Menerusi Reformasi Strategik Kurikulum Mata Pelajaran Pengajian Umum

Komitmen kerajaan untuk memperkukuh nilai patriotisme dan jati diri dalam kalangan generasi muda diterjemahkan melalui pelaksanaan reformasi kurikulum Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) yang lebih berstruktur dan relevan dengan keperluan semasa negara.

Reformasi strategik ini berlandaskan mandat khusus yang ditetapkan oleh Jemaah Menteri pada Ogos 2024 bagi memastikan pendidikan kenegaraan di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta mampu menangani kemerosotan semangat nasionalisme dalam kalangan belia.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa MPU tidak lagi boleh dianggap sebagai subjek tempelan semata-mata, sebaliknya ia merupakan teras utama dalam membentuk rupa bangsa dan acuan sesebuah negara.

Susulan itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menganjurkan program Training of Trainers (ToT) Perdana sebagai platform nasional untuk menyelaraskan kaedah pengajaran dan pemahaman kurikulum baharu ini kepada tenaga pengajar di seluruh negara.

Pelaksanaan modul baharu ini diperkemas melibatkan empat (4) kelompok kursus iaitu U1 hingga U4 yang merangkumi aspek falsafah, kemahiran insaniah, pengetahuan luas serta khidmat komuniti bagi melahirkan graduan yang holistik.

Sebuah sekretariat khas yang dipengerusikan oleh pakar akademik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah ditubuhkan bagi menyemak dan menambah baik kurikulum ini agar selari dengan gagasan Malaysia MADANI serta aspirasi negara.

Usaha ini dilihat kritikal dalam mendepani cabaran persekitaran sosial yang semakin toksik dan memastikan mahasiswa memiliki daya tahan moral serta pemikiran rasional dalam menangani isu polarisasi kaum.

Seramai lebih 1.1 juta pelajar di Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti dan IPT swasta dijangka menerima manfaat langsung daripada penambahbaikan silibus yang sedang dilaksanakan ini.

KPT yakin bahawa pendekatan baharu yang menggabungkan elemen sejarah, peradaban dan kemahiran masa hadapan ini akan berjaya melahirkan warganegara yang bertanggungjawab dan bersedia menghadapi cabaran global.

Terdahulu, para hadirin telah turut mendengar forum bertajuk 'Pelaksanaan Modul Baharu Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) : Memperkukuh Landskap Pembinaan Negara Bangsa' yang telah dihoskan oleh Ketua Sekretariat MPU, Prof. Dr. Nazri Muslim; bersama dua (2) orang tokoh akademia negara yang juga Penasihat Modul MPU, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar; dan Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; serta Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 90
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 Disember 2025, 09:37:58.

logo-sirim