KPT Perhalus Langkah Tingkatkan Kebolehpasaran Graduan Selaras Keputusan MPN

13 Julai 2026 | Kuala Lumpur
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini menggerakkan tindakan susulan terhadap keputusan Mesyuarat Majlis Pendidikan Negara (MPN) Bilangan 1 Tahun 2026 melalui mesyuarat khas yang dipengerusikan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, bersama para Naib Canselor Universiti Awam (UA) serta para Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) di Universiti Malaya.
Mesyuarat itu diadakan bagi menyelaras pelaksanaan beberapa perkara yang diputuskan dalam MPN yang dipengerusikan YAB Perdana Menteri pada 30 Jun lalu supaya dapat diterjemahkan kepada tindakan di peringkat Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
Antara fokus utama yang dibincangkan ialah usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui penyesuaian kurikulum dengan keperluan industri dan perubahan pasaran pekerjaan.
Mesyuarat turut meneliti langkah mengurangkan ketidaksepadanan antara kelayakan graduan dengan permintaan tenaga kerja bagi memastikan bakat yang dilahirkan memenuhi keperluan ekonomi negara.
Selain itu, perhatian turut diberikan kepada pengukuhan pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai antara keutamaan pembangunan modal insan negara.
Perbincangan juga menyentuh usaha memperluas kerjasama dengan industri bagi memastikan institusi pendidikan tinggi lebih responsif terhadap perkembangan teknologi serta keperluan sektor pekerjaan.
Pandangan dan cadangan yang dikemukakan oleh kepimpinan IPTA akan diperhalusi sebelum dibawa semula ke Mesyuarat Majlis Pendidikan Negara sebagai syor tindakan lanjut.
Mesyuarat berkenaan mencerminkan pendekatan KPT untuk memastikan setiap keputusan dasar pendidikan tinggi dilaksanakan secara tersusun, selaras dengan aspirasi pembangunan bakat negara dan agenda Malaysia MADANI.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Encik Ahmad Rizal Adnan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti; Dr. Shamsuri Abdullah; serta Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa.
- Last updated on .
- Hits: 35
