KPT Pacu Reformasi Pendidikan Tinggi Sokong Pelaksanaan RMK13

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir hadir ke Dewan Rakyat petang tadi bagi menyampaikan ucapan penggulungan Perbahasan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) mewakili Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Terdahulu, beliau merakamkan penghargaan atas perbahasan aktif oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat dan seterusnya menegaskan bahawa KPT komited dalam usaha memacu proses reformasi pendidikan tinggi yang merangkumi pembinaan insan, semakan kurikulum dan TVET dalam konteks pendigitalan, pengantarabangsaan, program berimpak tinggi, pembelajaran sepanjang hayat, rasionalisasi fungsi IPT dan pemantapan kompetensi warga pendidik.
Mengulas Majlis Pendidikan Negara (MPN), YB Menteri menjelaskan MPN akan ditubuhkan tahun ini sebagai jawatankuasa tertinggi dipengerusikan YAB Perdana Menteri untuk menyelaras dasar pendidikan secara menyeluruh merentas pendidikan awal kanak-kanak hingga pendidikan sepanjang hayat dengan pendekatan keseluruhan kerajaan (whole-of-government approach).
Tambahnya, penubuhan MPN adalah antara bidang keutamaan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025–2035 (PPTM 2025–2035) dan dijangka bersidang kali pertama pada suku keempat tahun ini, dengan penglibatan ekosistem Kementerian, pakar, komuniti dan NGO.
Berkaitan pembangunan bakat dan kesiapsiagaan AI, YB Menteri memaklumkan Kerajaan telah memperuntukkan RM20 juta bagi menubuhkan Fakulti AI pertama di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tahun lalu manakala MMU turut melancarkan Fakulti AI baharu semalam, dengan penegasan bahawa AI mesti dibangunkan atas asas STEM yang kukuh serta disiplin kemanusiaan termasuk falsafah dan etika.
YB Menteri turut menekankan keperluan penyemakan kurikulum secara menyeluruh agar program berasaskan AI dan bidang kejuruteraan berkaitan benar-benar menepati tuntutan semasa dan berorientasikan multidisiplin.
Bagi memperkasa ekosistem universiti–industri, KPT meneruskan pelbagai inisiatif termasuk Sijil Profesional Industri serta Industry-on-Campus (IOC) dengan kerjasama syarikat global seperti Intel, Infineon, AT&S, Sandisk, Google, Microsoft dan Huawei, yang menyediakan fasiliti latihan dan peluang 'on-the-job training' di kampus.
Menjawab kebimbangan akses bakat Sabah dan Sarawak di bidang kritikal, YB Menteri memaklumkan kewujudan Fakulti Perubatan di UNIMAS serta persiapan Fakulti Perubatan dan hospital universiti di UMS, selain kerjasama yang sedang dipertimbang dengan Fudan University, China untuk memperluas laluan dan kapasiti.
Beliau turut berkongsi unjuran keperluan tenaga kerja baharu 2025–2030 merentas bidang seperti pendigitalan pendidikan, keselamatan siber, pembuatan dan ESG, sekali gus menggariskan keperluan penjajaran program Politeknik dan Kolej Komuniti agar menepati permintaan pasaran.
Mengulas berkenaan pengambilan pelajar antarabangsa, YB Menteri menegaskan keutamaan tetap diberikan kepada pelajar tempatan melalui UPUOnline dan berdasarkan angka 2024 terdapat kira-kira 497,000 pelajar warga Malaysia berbanding 13,000 pelajar antarabangsa di universiti awam, di samping penekanan keutamaan pengantarabangsaan pada peringkat pascasiswazah.
YB Menteri turut menjelaskan komitmen untuk memperkukuh dasar inklusif OKU termasuk meneliti semula kekangan kemasukan kes khusus yang berkelayakan tinggi agar peluang setara ke universiti dapat dipenuhi.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman dan Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari Ismail.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 601