KPT Komited Perkukuh Kepercayaan Global Terhadap Kelayakan Pendidikan Tinggi
Pembinaan ekosistem amanah (trust ecosystem) dalam pengiktirafan kelayakan antarabangsa adalah kritikal untuk memastikan pendidikan tinggi terus berfungsi sebagai jambatan kepada peluang global.
Perkara tersebut disuarakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir ketika berucap di Forum Presiden MQA 2025 di sini semalam.
Beliau menyifatkan forum itu sebagai penegasan semula komitmen bersama untuk memastikan pendidikan "terus berfungsi sebagai jambatan kepada peluang, bukan penghalang yang ditakrifkan oleh sempadan geografi".
Menurut beliau, dalam era globalisasi ilmu dan mobiliti digital kini, jaminan kualiti mesti melangkaui batas standard pematuhan semata-mata.
"Kita mesti berevolusi daripada pengawal selia pematuhan kepada pemboleh daya keyakinan global," tegas beliau.
YB Menteri menyeru agar agensi jaminan kualiti mengamalkan model yang lebih kolaboratif, inklusif, dan berpandangan jauh.
Beliau menggariskan empat (4) teras utama iaitu mobiliti tanpa sempadan, pengiktirafan digital, kolaborasi jaminan kualiti, dan pembinaan ekosistem amanah.
Kerajaan menyasarkan untuk mengharmonikan prinsip jaminan kualiti agar mobiliti menjadi pemboleh strategik kesediaan tenaga kerja global, bukannya halangan pentadbiran.
Kemunculan kelayakan mikro (micro-credentials) turut menuntut sistem jaminan kualiti berevolusi bagi memastikan integriti setiap kelayakan yang ditawarkan.
KPT akan terus memimpin agenda tersebut berpandukan prinsip "Melangkaui Standard" (Beyond Standards) dan mengamanahkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk menterjemahkan inisiatif yang dicadangkan kepada tindakan yang berkesan.
Matlamat utama adalah untuk membina jambatan, bukan sempadan, ke arah dunia di mana pendidikan diiktiraf, dijamin, dan dinilai di mana-mana sahaja.
Terdahulu, YB Menteri turut mengalu-alukan penyertaan delegasi Timor-Leste, yang baru sahaja diterima secara rasmi sebagai ahli keluarga ASEAN.
Turut hadir Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee bin Ibrahim; Pengerusi MQA, Dato' Seri Dr. Ir. Zaini Ujang; Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Dato' Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran; serta ketua-ketua agensi jaminan kualiti antarabangsa dan tempatan.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 615