KPT Julang Agenda Mobiliti Akademik Serantau Selaras Kepengerusian ASEAN-MALAYSIA 2025
Komitmen untuk memperkukuh mobiliti pelajar sebagai jambatan penghubung budaya dan persefahaman antarabangsa terus menjadi agenda utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Mobiliti akademik merujuk kepada program pertukaran pelajar dan staf antara Institusi Pendidikan Tinggi di dalam atau luar negara, bertujuan untuk memberi pendedahan antarabangsa dan memperluas pengalaman pembelajaran.
Komitmen Kementerian tersebut dizahirkan melalui penganjuran Mesyuarat Kajian Semula Tahunan (ARM) Ke-19 Program Mobiliti Antarabangsa Asia untuk Pelajar (AIMS) 2025, yang berlangsung dari 4 hingga 6 November bersempena Festival Idea Putrajaya 2025.
Program tersebut berfungsi sebagai platform penting mencipta peluang sepanjang hayat untuk pelajar serta pendidik merentasi ASEAN dan negara-negara lain.
Seramai hampir 220 peserta yang mewakili 10 negara anggota AIMS iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam, Brunei Darussalam, Kemboja, Singapura, Jepun, dan Republik Korea telah menyertai program tersebut.
Dalam ucapannya perasmiannya semalam, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menegaskan kejayaan AIMS adalah cerminan semangat kolaboratif dan persahabatan yang didukung Malaysia selaras Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Beliau turut merakamkan penghargaan ikhlas kepada semua rakan kongsi strategik ARM Ke-19 AIMS, khususnya kepimpinan Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara, Pusat Serantau bagi Pendidikan Tinggi dan Pembangunan (SEAMEO RIHED), Education Malaysia Global Services (EMGS), dan Jabatan Pendidikan Tinggi selaku hos.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Pengarah Pusat Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara bagi Pendidikan Tinggi dan Pembangunan (SEAMEO RIHED), Dr. Choltis Dhirathit; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pegawai Eksekutif EMGS, Novie Tajuddin; serta para Naib Canselor Universiti Awam.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 693