KPT DI PBAKL2026: DYMM SULTAN SELANGOR DAN TENGKU PERMAISURI SELANGOR BERANGKAT KE PAVILION MAPIM

29 Mei 2026 | Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)
Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat melawat Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di sini petang tadi.
Turut mengiringi keberangkatan baginda berdua ialah Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah Al-Haj.
Keberangkatan tiba DYMM Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor disambut oleh Pengerusi Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), Prof. Madya Dr. Siti Rahmah Awang serta Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim.
Sejurus ketibaan, baginda berdua dibawa melawat reruai pameran termasuk Pavilion MAPIM sebelum diberi penerangan mengenai pelbagai naskhah ilmiah terbitan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta, di samping beramah mesra bersama para pengunjung dan penggiat industri buku tempatan.
Pavilion MAPIM yang menghimpunkan pelbagai penerbit universiti dan organisasi penerbitan ilmiah tempatan dijangka menjadi antara tarikan utama sepanjang PBAKL2026 yang berlangsung mulai 29 Mei hingga 7 Jun depan menerusi penawaran lebih 10,000 judul buku ilmiah, bahan akademik dan penerbitan umum di bawah satu bumbung.
Pavilion tersebut turut menampilkan pelbagai pengisian berteraskan pembudayaan ilmu, pemerkasaan penerbitan akademik negara serta pengukuhan ekosistem pendidikan tinggi menerusi penglibatan aktif institusi dan pemain industri penerbitan tempatan.
Turut memeriahkan Pavilion MAPIM ialah Patriots Publishing, IBDE dan Pelita Brunei.
- Last updated on .
- Hits: 81
