KPT Capai Tahap Kesihatan Integriti Unggul Menerusi Penilaian SPINE

25 November 2026 | Putrajaya
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mencapai Tahap Kesihatan Unggul menerusi penilaian lapangan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) pada 12 Ogos lepas, mencerminkan pencapaian kementerian dalam pengurusan integriti dan tadbir urus organisasi.
Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim berkata pencapaian itu menjadi asas kepada usaha berterusan untuk memastikan amalan integriti, ketelusan dan akauntabiliti diterapkan dalam setiap urusan pentadbiran, pengurusan serta penyampaian perkhidmatan kementerian.
Beliau berkata KPT turut berjaya menyelesaikan kesemua 31 inisiatif di bawah Pelan Antirasuah KPT 2022–2026 sebelum penghujung tahun ini, selain menamatkan pelaksanaan dua substrategi di bawah Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028 yang diterajui kementerian berkaitan pelaksanaan kursus integriti dan antirasuah di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa integriti perlu bermula daripada diri sendiri melalui pengamalan nilai amanah, kejujuran, tanggungjawab dan ketelusan, selaras dengan tema sambutan tahun ini, “Integriti Kita, Nilai Kita”, selain menyampaikan Sijil Pengiktirafan Kompetensi Berasaskan Integriti kepada seorang pegawai KPT yang berjaya mengelakkan kerugian kepada institusi serta melindungi reputasi organisasi.
Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Zainal Amin Ayub; serta Timbalan Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norazlina Abd Rahim.
- Last updated on .
- Hits: 31
