Konvensyen 152: KPT Perkenal Pendekatan Baharu Martabatkan Bahasa Melayu Di Pentas Global
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited dalam memastikan Bahasa Melayu tidak hanya kekal sebagai bahasa warisan, sebaliknya terus diperkasa menjadi bahasa masa depan yang mampu berdaya saing dalam era kecerdasan buatan (AI) global.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan iltizam ini didorong oleh kesedaran terhadap cabaran baharu yang dihadapi bahasa kebangsaan dalam ekosistem digital yang kini dipacu oleh algoritma dan data.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam pagi tadi.
Menurut beliau, Bahasa Melayu berhadapan dengan tiga (3) cabaran besar dalam era AI, iaitu kekurangan data linguistik, dominasi bahasa global dalam pembangunan teknologi, serta kemerosotan struktur tatabahasa dalam komunikasi digital.
Bagi menangani isu tersebut, KPT telah menggariskan beberapa pendekatan baharu yang sejajar dengan era digital melalui Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu 2023–2030.
Antara inisiatif strategik yang diperkenalkan ialah pembangunan korpus digital Bahasa Melayu berskala nasional bagi tujuan melatih dan mengintegrasikan jutaan teks ke dalam sistem AI dan enjin pembelajaran mesin.
Pendekatan lain termasuklah menggalakkan kolaborasi antara universiti dan industri AI tempatan bagi menghasilkan model bahasa serta menubuhkan pusat penyelidikan bahasa dan AI di institusi pengajian tinggi awam terpilih.
Usaha ini mengukuhkan lagi kedudukan Bahasa Melayu sebagai denyut nadi ekosistem pendidikan tinggi, di mana kini 86 peratus kursus di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) ditawarkan dalam bahasa kebangsaan.
Majlis yang telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ini menjadi medan strategik untuk merumuskan resolusi kebangsaan bagi memperkukuh kedudukan Bahasa Melayu dalam pelbagai kluster utama negara.
Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Dato' Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka; Dr. Hazami Jahari; Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Dato' Sri Haji Mohd Khamil Jamil; serta Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 614