Kongres Pendidikan Bumiputera 2026: KPT Terajui Resolusi Pemerkasaan Pendidikan Tinggi Mendepani Cabaran Global

Kongres Pendidikan Bumiputera 2026: KPT Terajui Resolusi Pemerkasaan Pendidikan Tinggi Mendepani Cabaran Global

2 Mei 2026 | Kuala Lumpur

Transformasi menyeluruh pendidikan tinggi Bumiputera bagi mendepani cabaran inovasi global dan ketidaktentuan masa hadapan akan diterajui secara strategik oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Komitmen teguh tersebut dizahirkan semasa Majlis Penutup Kongres Pendidikan Bumiputera (KPB) 2026 yang dianjurkan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur semalam.

Menyampaikan ucapan dari sudut pandang naratif pendidikan kebangsaan, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir selaku Pengerusi KPB 2026 menyifatkan penganjuran kongres tersebut sebagai platform strategik untuk melonjakkan kelangsungan Bumiputera.

Beliau menegaskan bahawa mahasiswa masa kini perlu dilengkapi dengan corak pemikiran global berikutan dunia hari ini sedang mendepani fasa ketidaktentuan landskap pasaran yang amat mencabar.

Sehubungan itu, Kementerian menggesa agar institusi universiti melahirkan graduan yang tidak sekadar berfikir secara tradisi, sebaliknya pantas mengadaptasi perubahan antarabangsa tanpa meminggirkan asas dan identiti tempatan.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang hadir menyempurnakan serta menerima resolusi KPB 2026, dalam ucapannya mengarahkan agar ekosistem pendidikan dirombak segera bagi merungkai isu ketidakpadanan kerjaya yang sedang membelenggu graduan.

Justeru, beliau mahu landskap pendidikan tinggi negara kekal tangkas dalam menyediakan bakat 'kalis masa depan' yang mampu mendepani era ledakan kecerdasan buatan (AI), automasi, dan pasaran ekonomi digital.

Bagi menterjemahkan cadangan, pembentangan serta diskusi oleh para pakar sepanjang KPB 2026 berlangsung, YAB Timbalan Perdana Menteri telah menggariskan beberapa fokus utama pelaksanaan resolusi kongres seperti berikut:

▪️ Pemerkasaan Pendidikan TVET secara Besar-besaran:

Mengangkat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama yang berprestij memandangkan kebolehpasaran graduannya kini berada pada tahap cemerlang mencecah 98.5 peratus.

▪️Penubuhan Majlis Tahfiz Negara:

Mewujudkan satu badan penyelaras bagi institusi pengajian awam dan swasta untuk membawa pendidikan hafazan ke arus perdana bagi melahirkan profesional huffaz seperti doktor, jurutera, dan teknokrat.

▪️Sistem Pendidikan Pelbagai Haluan:

Menyediakan laluan pembelajaran yang anjal merangkumi aliran akademik, vokasional, sukan, seni, dan digital tanpa mendiskriminasi potensi atau menseragamkan bakat unik setiap pelajar.

▪️Penyatuan Wakaf Pendidikan Bumiputera: Mengumpulkan seluruh urus tadbir kewangan berasaskan wakaf di bawah satu payung bersepadu bagi membiayai kelangsungan pendidikan golongan rentan untuk jangka masa panjang.

▪️Penerapan Silibus Akhlak Wajib:

Mewajibkan mata pelajaran kenegaraan dan sahsiah di seluruh peringkat pembelajaran bagi membentuk generasi 'Insan Kamil' yang mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu dan menghormati kemajmukan negara.

▪️Pembentukan Sekretariat Tetap Kongres:

Sebuah entiti kekal ditubuhkan bagi meneliti, menyaran, dan memantau setiap titik pelaksanaan resolusi ke peringkat akar umbi agar hala tuju ini tidak menjadi dasar yang terbiar.

Selain itu, YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid turut menyarankan agar wakil Pengerusi Sekretariat Tetap ini diberikan tempat secara mandatori dalam Majlis Pendidikan Negara bagi memastikan suara akar umbi kongres sentiasa dibawa ke meja penentuan dasar.

Pada masa yang sama, prakarsa pewujudan Majlis Tahfiz Negara akan dibentangkan terus oleh beliau ke mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat untuk mendapatkan kelulusan rasmi kerajaan.

Antara wakil KPT yang telah menjadi ahli panel, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; Naib-naib Canselor serta pakar-pakar bidang dari universiti-universiti awam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan. 

  • Last updated on .
  • Hits: 34
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 04 Mei 2026, 09:34:38.

logo-sirim