Kerjasama Strategik KPT Dengan Kerajaan Negeri Sabah Perluas Akses Pendidikan Tinggi

19 Jun 2026 | Tawau dan Kota Kinabalu, Sabah
Kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah terus diperkukuh bagi memperluas akses pendidikan tinggi berkualiti serta mempercepat pembangunan modal insan yang memenuhi keperluan industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV).
Komitmen tersebut diterjemahkan menerusi lawatan kerja Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, ke Tawau dan Kota Kinabalu semalam yang memfokuskan pemantauan projek pembangunan institusi pendidikan tinggi serta penyelarasan agenda strategik bersama Kerajaan Negeri Sabah.
Lawatan dimulakan dengan pemantauan fizikal ke tapak cadangan pembangunan Kampus Baharu Politeknik Tawau bagi meninjau kesesuaian kawasan dan perimeter lot tanah yang dikenal pasti sebagai langkah awal memperkukuh kapasiti pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) di Pantai Timur Sabah.
Selain itu, beliau turut meninjau pengoperasian Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah Kampus Tawau dan Kampus Sedia Ada Politeknik Tawau bagi menilai keperluan naik taraf infrastruktur, kemudahan pembelajaran serta aspek kebajikan warga akademik dan mahasiswa.
Tinjauan berkenaan membolehkan KPT memperoleh gambaran menyeluruh mengenai keperluan pembangunan institusi sedia ada sebagai asas kepada penyediaan kemudahan pendidikan tinggi yang lebih kondusif, inklusif dan mampan.
Pada sebelah petang, delegasi KPT mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman, di Menara Kinabalu bagi memperkukuh kerjasama strategik antara KPT dan Kerajaan Negeri dalam memacu pembangunan pendidikan tinggi di Sabah.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak turut mengambil maklum penyediaan hampir RM150 juta peruntukan biasiswa kepada pelajar anak Sabah untuk melanjutkan pengajian tinggi, di samping memperkukuh kerjasama melahirkan bakat berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri HGHV.
Delegasi KPT seterusnya mengadakan mesyuarat bersama Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan dan Inovasi Sabah, Datuk Hassan Mahali, yang memfokuskan pembentangan Cadangan Pembangunan Kampus Baharu Politeknik Tawau serta Pelan Strategik Rasionalisasi UiTM bagi penyelarasan dasar dan pertimbangan Kerajaan Negeri.
Usaha bersepadu tersebut dijangka membuka lebih banyak peluang akses pendidikan tinggi kepada masyarakat setempat di samping memperkukuh ekosistem pembangunan bakat yang menyokong aspirasi Malaysia MADANI dan pembangunan sosioekonomi Sabah.
Turut hadir, Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Dr. Shahrin Sahib; Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Haji Ulaimi Yahya; serta pegawai kanan KPT, Kerajaan Negeri Sabah dan agensi berkaitan.
- Last updated on .
- Hits: 220
