Kembara Karisma Zon Utara: Pemimpin Muda IPT Jadi Teras 'Brain Of The Nation'

Kembara Karisma Zon Utara: Pemimpin Muda IPT Jadi Teras 'Brain Of The Nation'

Pembangunan bakat kepimpinan muda berpaksikan konsep ‘Brain of the Nation’ menjadi teras utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melahirkan generasi akademik dan pentadbir yang berupaya memacu peradaban bangsa.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa golongan intelektual muda di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) memikul amanah besar untuk menterjemahkan dasar-dasar negara kepada tindakan yang membawa impak nyata kepada masyarakat.

Aspirasi tersebut dizahirkan beliau semasa Program Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI 2026 peringkat Zon Utara anjuran Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM), petang tadi.

Dalam sesi dialog yang berlangsung, beliau turut menyeru kepimpinan muda IPT agar berani memecahkan konsep tradisional dan bersikap lebih fleksibel bagi memastikan sistem pendidikan tinggi negara kekal kompetitif di peringkat global.

Program tersebut telah menghimpunkan seramai 300 orang pemimpin muda IPT Awam Zon Utara iaitu Perlis, Kedah, dan Pulau Pinang, sebagai inisiatif pembangunan kepimpinan asas secara berstruktur dan berteraskan nilai MADANI bagi memperkasakan bakat pelapis IPT.

Selain itu, YB Menteri turut menyifatkan siri kembara tersebut sebagai wadah interaksi strategik untuk merapatkan jurang komunikasi antara Kementerian dengan warga akademik muda di lapangan.

Siri kembara tersebut dijadualkan diteruskan ke zon Timur, Tengah, Selatan, serta Sabah dan Sarawak sebelum mencapai kemuncaknya melalui Konvensyen KARISMA pada akhir tahun ini.

Terdahulu, dalam siri lawatan kerja ke Pulau Pinang siang tadi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry telah menyaksikan pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara USM dan ViTrox College bagi memperkukuh kerjasama industri-akademik, khususnya dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) dan semikonduktor.

Beliau turut meluangkan masa meninjau fasiliti di ViTrox Corporation Bhd. bagi melihat inovasi peralatan pemeriksaan visi automatik asli-AI rekaan bakat tempatan, selain diberikan taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Dato' Chu Jenn Weng mengenai hala tuju kilang AI di Malaysia serta peranan kritikal universiti dalam membekalkan bakat mahir.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; Pengarah AKEPT, Prof. Dr. Harshita Aini Haroon; Naib Canselor USM, Prof. Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; serta Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Dato' Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 42
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 30 Januari 2026, 08:43:41.

logo-sirim