Kembara Karisma Pemimpin Muda Zon Selatan (Melaka) 2026: Platform Strategik Gilap Kepimpinan Muda IPT

17 April 2026 | Jasin, Melaka
Pembangunan bakat kepimpinan muda Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang berdaya tahan dan progresif sentiasa menjadi agenda utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memastikan kecemerlangan pendidikan negara di persada global.
KPT melalui Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) telah melancarkan program Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI 2026 sebagai platform strategik bagi memperkukuh libat urus antara kepimpinan tertinggi kementerian dengan pensyarah serta pentadbir muda IPT.
Program yang dilaksanakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Jasin siang tadi merupakan kesinambungan siri khas bagi Zon Selatan yang melibatkan penyertaan seramai 250 bakat kepimpinan muda daripada pelbagai IPT Awam di bawah KPT merangkumi universiti awam, politeknik, serta kolej komuniti di seluruh Negeri Melaka.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, menegaskan bahawa inisiatif pembangunan kepimpinan asas ini dirangka secara berstruktur bagi memupuk nilai Malaysia MADANI dalam setiap lapisan tadbir urus institusi.
Beliau berkata demikian semasa sesi Townhall yang menjadi kemuncak kepada program berkenaan, yang mana ia membuka ruang interaksi dua hala secara langsung antara Kementerian dengan para pemimpin muda.
Sesi tersebut memberikan penjelasan mendalam berkaitan hala tuju pendidikan tinggi negara serta membincangkan peranan generasi muda dalam menghadapi landskap global yang semakin mencabar dan disruptif.
Selain Townhall, pengisian utama program turut merangkumi forum bertajuk “Kepimpinan Disruptif: Pemimpin Muda IPT dan Teknologi Masa Hadapan” yang menampilkan barisan panelis berpengalaman.
Penganjuran program seumpama ini, akan terus dilaksanakan secara berterusan oleh KPT bagi melahirkan lebih ramai pemimpin masa hadapan yang berintegriti, berdaya saing, dan berwawasan tinggi menjelang tahun 2026 dan seterusnya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Adam Adli Abd Halim; Timbalan Ketua Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Pengarah AKEPT, Prof. Dr. Harshita Aini Haroon; Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Dato' Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran; Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Ts. Dr. Shahrin Sahib; serta Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin.
- Last updated on .
- Hits: 174
