iFUTURE 2026: TPM II Tekankan Kepimpinan Belia Berteraskan Nilai Penting Dalam Era AI

12 Oktober 2026 | Kuala Lumpur
Kepimpinan belia berteraskan nilai, integriti dan tanggungjawab perlu menjadi asas dalam mendepani perkembangan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan kemajuan teknologi membawa manfaat kepada masyarakat dan negara.
Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof, berkata teknologi mampu memperluas keupayaan manusia, namun nilai kemanusiaan perlu menjadi panduan dalam menentukan penggunaannya supaya kepentingan rakyat sentiasa diutamakan.
Beliau berkata golongan muda tidak perlu menunggu sehingga memperoleh jawatan atau gelaran tertentu untuk memimpin, sebaliknya boleh memulakan peranan melalui tindakan yang memberi manfaat kepada komuniti serta penyelesaian terhadap masalah sebenar.
Menurutnya, kepimpinan berkesan perlu berasaskan tiga (3) prinsip utama, iaitu nilai, visi dan tanggungjawab, dengan integriti menjadi asas kepercayaan masyarakat terhadap seseorang pemimpin tanpa mengira kedudukan yang dimiliki.
Dalam mendepani perkembangan AI, beliau turut mengingatkan bahawa keupayaan menggunakan teknologi tidak semestinya mencerminkan kebijaksanaan, justeru golongan muda perlu membina literasi AI dengan menilai ketepatan maklumat, mengenal pasti kecenderungan dalam hasil teknologi serta mempertimbangkan aspek keadilan dan ketelusan sebelum menggunakannya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan Malaysia perlu beralih daripada sekadar menjadi pengguna kepada pengeluar teknologi yang mampu menghasilkan penyelesaian terhadap cabaran negara serta menyumbang kepada keperluan masyarakat global.
Beliau turut menekankan kepentingan penglibatan golongan muda sejak peringkat awal dalam proses penggubalan dasar dan pembuatan keputusan, termasuk melalui penyelidikan, panel penasihat dan program kemasyarakatan yang membolehkan pandangan mereka dipertimbangkan serta disusuli dengan tindakan.
Dalam aspek pembangunan bakat, beliau menyifatkan pendidikan dan latihan kemahiran, termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sebagai laluan penting untuk melahirkan tenaga kerja yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta menghasilkan inovasi yang menyelesaikan masalah sebenar.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dalam sesi dialog bersama Timbalan Perdana Menteri sempena Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (iFUTURE) 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada pagi tadi.
Edisi ketiga iFUTURE yang berlangsung dari 11 hingga 13 Oktober itu menghimpunkan seramai 1,231 mahasiswa, terdiri daripada 813 mahasiswa Malaysia dan 418 mahasiswa antarabangsa dari 60 negara, bagi membincangkan kepimpinan, pembangunan bakat dan cabaran masa hadapan.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governans dan Pembangunan), Ts. Dr. Nor Aishah Spahat; serta Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof. Ts. Dr. Yatimah Alias yang turut bertindak sebagai moderator sesi dialog.
- Last updated on .
- Hits: 83
