iFUTURE 2026: Integriti, Kebijaksanaan Teras Kepimpinan Generasi Muda

iFUTURE 2026: Integriti, Kebijaksanaan Teras Kepimpinan Generasi Muda

12 Oktober 2026 | Kuala Lumpur

Generasi muda perlu membina kepimpinan berteraskan integriti, kebijaksanaan dan keberanian memikul tanggungjawab bagi memastikan keupayaan mereka membawa perubahan dapat diterjemahkan kepada manfaat kepada masyarakat dan negara.

Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Haji Mohd Nasir berkata, kepimpinan bukan sekadar bergantung pada jawatan atau penguasaan ilmu, sebaliknya menuntut kebijaksanaan untuk menentukan cara dan masa yang tepat bagi menggunakan pengetahuan dalam membuat keputusan.

Beliau berkata, kemajuan teknologi yang menyediakan akses kepada pelbagai maklumat dan penyelesaian menjadikan kebijaksanaan serta keupayaan mempertahankan nilai integriti semakin penting dalam menentukan mutu kepimpinan generasi akan datang.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), YB Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pemimpin perlu memahami cabaran yang dihadapi generasi muda berdasarkan perubahan persekitaran sosial, kemajuan teknologi dan tekanan ekonomi tanpa membuat penilaian berdasarkan pengalaman generasi terdahulu semata-mata.

Beliau turut menegaskan bahawa kepimpinan berasaskan amanah menuntut setiap individu menggunakan kuasa secara bertanggungjawab, bekerja secara berpasukan dan mempertahankan prinsip keadilan tanpa mengira kedudukan atau pengaruh yang dimiliki.

Mengulas peranan mahasiswa dalam membentuk persekitaran kampus yang selamat dan adil, YB Datuk Seri Azalina berkata, pemimpin pelajar perlu berani menyuarakan kebimbangan, membina kerjasama dan mengambil tindakan terhadap isu seperti buli serta gangguan seksual, bukannya menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab tersebut kepada pihak pentadbiran universiti.

Dalam pada itu, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah berkata, pemimpin muda perlu mengimbangi aspirasi kejayaan peribadi dengan kepekaan terhadap keperluan orang lain, termasuk memahami jurang pembangunan dan perbezaan latar belakang masyarakat agar kemajuan negara dapat dinikmati secara lebih inklusif.

Beliau turut menjelaskan bahawa usaha meningkatkan pendapatan dan mobiliti sosial graduan memerlukan peningkatan produktiviti, kesediaan tenaga kerja memenuhi keperluan pekerjaan berkemahiran tinggi serta akses yang saksama kepada pendidikan dan kemudahan asas.

Selain itu, YB Datuk Seri Azalina mengingatkan pemimpin muda supaya membina daya tahan dalam menghadapi kritikan dan tekanan media sosial dengan berpegang pada nilai diri, menjaga integriti serta memberikan tumpuan kepada hasil kerja dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Pandangan itu dikongsikan dalam Forum Menteri bertajuk Suara Masa Hadapan: Perbincangan Mengenai Kepimpinan dan Pembinaan Negara (Voices of Tomorrow: A Conversation on Leadership and Nation Building) sempena Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (iFUTURE) 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pagi tadi.

Forum itu menampilkan kedua-dua YB Datuk Seri Azalina dan YB Tuan Haji Akmal Nasrullah sebagai ahli panel dengan perbincangan dipandu oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim, selaku moderator.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan), Ts. Dr. Nor Aishah Spahat; Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Prof. Dr. Yatimah Alias; serta barisan kepimpinan universiti dan warga akademik.

  • Last updated on .
  • Hits: 58
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 12 Oktober 2026, 07:35:25.

logo-sirim