Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Turkiye 2026 Cetus Sinergi Baharu Merentasi Geopolitik Global dan Inovasi Digital

Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Turkiye 2026 Cetus Sinergi Baharu Merentasi Geopolitik Global dan Inovasi Digital

29 April 2026 | Georgetown, Pulau Pinang

“Dalam persekitaran global yang semakin mencabar, pendidikan tinggi kekal menjadi jambatan terpenting dalam mengekalkan kesinambungan diplomasi walaupun platform lain berdepan tekanan.”

Demikian ditegaskan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, bagi menggambarkan keistimewaan hubungan dua hala Malaysia dan Republik Türkiye menerusi lensa pertukaran ilmu.

Beliau menyampaikan perkara itu dalam ucaptama Forum Pendidikan Tinggi Malaysia–Republik Türkiye 2026 (Malaysia–The Republic of Türkiye Higher Education Forum 2026) yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM) pagi tadi bersempena penganjuran Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama (Joint Committee, JC) Bagi Pendidikan Tinggi Malaysia–Republik Türkiye.

Turut sama menyampaikan ucaptama, Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Republik Türkiye, TYT Prof. Dr. Erol Özvar.

Bertemakan “Mengorak Masa Depan Pendidikan Tinggi di Era Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI)”, forum anjuran Education Malaysia Global Services (EMGS) dan USM berkenaan menghimpunkan pembuat dasar, sarjana serta mahasiswa tempatan dan antarabangsa bagi membincangkan hala tuju serta ketahanan sektor pendidikan tinggi dalam mendepani cabaran era baharu.

Perbincangan turut menumpukan kepada peranan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) sebagai pemacu transformasi pendidikan, khususnya dalam memperkukuh inovasi, penyelidikan, mobiliti akademik serta kebolehpasaran graduan pada masa hadapan.

Menurut beliau, hubungan akrab antara Malaysia dan Türkiye terus diperkukuh melalui pertukaran kepakaran institusi, mobiliti pelajar serta kerjasama strategik antara universiti kedua-dua negara.

Usaha itu turut disokong oleh ekosistem pendidikan antarabangsa Malaysia yang kini menarik lebih 160,000 pelajar dari lebih 180 negara, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab pendidikan tinggi serantau.

Bagi memperluas kerjasama tersebut, mesyuarat delegasi kedua-dua negara turut memeterai cadangan pemberian ratusan biasiswa secara timbal balik bagi menyokong pelajar Malaysia dan Türkiye melanjutkan pengajian di luar negara.

Selain mobiliti pelajar, forum itu turut meneliti peranan institusi akademik dalam mengurus cabaran transformasi digital yang dipacu pesat oleh AI, khususnya dalam penyelarasan TVET serta inovasi penyelidikan.

Namun, beliau menegaskan bahawa agenda pemodenan itu perlu diseimbangkan dengan penerapan nilai, jati diri dan semangat kenegaraan agar pembangunan teknologi tidak menghakis asas kemanusiaan.

Nilai keimanan, kekuatan, kesetiaan dan ihsan, katanya, perlu terus menjadi teras pendidikan dalam melahirkan graduan kalis masa depan yang berupaya memimpin masyarakat berteraskan pendekatan MADANI.

Sehubungan itu, beliau menyeru mahasiswa agar aktif membina jaringan kolaborasi yang sihat serta mempersiapkan diri sebagai pemimpin masa hadapan, sekali gus memastikan legasi intelektual dan diplomasi pendidikan terus diwariskan.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Universiti Ibn Haldun, TYT Necmeddin Bilal Erdoğan; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Tuan Adam Adli Abd Halim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif EMGS, Novie Tajuddin; serta Naib Canselor USM, Dato’ Seri Prof. Ir. Dr. Abdul Rahman. 

  • Last updated on .
  • Hits: 84
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 30 April 2026, 06:34:40.

logo-sirim