FIM Siri 11: KPT Perkasa Kolaborasi Intelektual Dunia Islam Harungi Krisis Geopolitik Mutakhir

27 April 2026 | Putrajaya
Kesatuan umat Islam di seluruh dunia kini berdepan cabaran kritikal ekoran krisis geopolitik global yang mencabar kedaulatan ummah serta sistem antarabangsa berasaskan peraturan sedia ada.
Bagi mendepani ketidaktentuan tersebut, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berjaya menganjurkan Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri 11 yang bertemakan "Kesatuan Muslim dalam Era Krisis Geopolitik" di Kompleks Seri Perdana semalam.
Penganjuran forum berimpak tinggi itu bertujuan mempertemukan barisan pemikir, ahli akademik dan pemimpin merentas sektor bagi merumuskan resolusi praktikal terhadap isu sejagat demi masa depan dunia Islam yang lebih mampan.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam ucapan alu-aluannya menyifatkan forum itu sebagai inisiatif bermakna yang menyediakan platform dialog tulen untuk perbincangan kritis serta berpandangan jauh tanpa sebarang kekangan protokol tegar.
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa mempengerusikan forum berkenaan menegaskan bahawa perpaduan umat Islam bukan sekadar objektif strategik semata-mata, malah merupakan satu keperluan moral dan agama yang mendesak.
Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Universiti Ibn Haldun, Necmettin Bilal Erdoğan menyarankan agar paradigma pengurusan dunia Islam beralih daripada kepentingan individu kepada kepentingan kemanusiaan sejagat demi mengelakkan fragmentasi tamadun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan menekankan kepentingan memperkukuh konsep 'Amar Makruf Nahi Mungkar' sebagai asas kesatuan yang praktikal dalam mendepani fenomena kejahilan (manufactured ignorance) yang dirancang oleh kuasa luar.
Pengarah Institut Penyelidikan dan Pembangunan Islam (IIDR), Sharif Hasan Al-Banna menggariskan empat (4) laluan perpaduan merangkumi kerjasama fungsional, integrasi ekonomi, kebebasan intelek dan pakatan strategik yang diselaraskan.
Prof Madya Dr. Khairudin Aljunied dari Universiti Nasional Singapura (NUS) menyeru agar universiti di dunia Islam diperkasa kualitinya bagi melahirkan modal insan yang berdaya tahan terhadap ketidaktentuan ekonomi dunia yang semakin mencabar.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; serta ikon bola sepak antarabangsa, Mesut Özil.
- Last updated on .
- Hits: 152
