Festival Idea Putrajaya 2025 Buka Tirai, Malaysia Diangkat Sebagai Hab Idea Serantau Dan Global
Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025 membuka tirainya pagi tadi dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai hab idea dan inovasi serantau yang memacu kemajuan berteraskan ilmu dan nilai MADANI.
Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan perasmian menegaskan bahawa ilmu bukan sekadar maklumat tetapi cahaya yang membentuk akal budi, keinsafan dan kesejahteraan bangsa.
“Ilmu yang benar bukan hanya dihafal, tetapi dihayati dan diamalkan. Ia mesti menjadi cahaya yang memandu bangsa menuju tamadun yang beradab,” katanya di hadapan lebih 5,000 para hadirin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan bangsa terletak pada keberanian berfikir dan keupayaan mencipta penyelesaian baharu melalui ilmu yang disertai adab.
“Bangsa yang membaca, berfikir dan beradab akan terus mara. Teknologi tanpa nilai hanyalah kuasa tanpa arah,” ujar beliau disambut tepukan hadirin.
Festival Lima (5) hari anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dari 4 hingga 8 November itu menjadi wadah strategik menghimpunkan cendekiawan, penyelidik, ahli akademik, pelajar serta pemimpin industri bagi membincangkan hala tuju pembangunan ilmu dan inovasi dalam konteks global.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam ucapan alu-aluannya berkata, FOI 2025 membuktikan komitmen KPT untuk memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi yang dinamik dan berpaksikan nilai MADANI.
Beliau menjelaskan, penganjuran festival ini selaras dengan aspirasi menjadikan Putrajaya sebagai pusat pertemuan idea dan wacana antarabangsa yang menyatukan Malaysia dengan dunia melalui ilmu dan kreativiti.
“Malaysia harus menjadi pusat pemikiran yang melahirkan tindakan, bukan hanya percambahan idea. FOI ialah jambatan antara universiti, industri dan masyarakat,” katanya.
YAB Timbalan Perdana Menteri dalam ucapannya turut mengingatkan bahawa kemajuan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui infrastruktur dan ekonomi, tetapi oleh ketinggian ilmu, nilai dan adab rakyatnya.
Pada majlis pagi tadi juga, Setiausaha Agung ASEAN, TYT Dr. Kao Kim Hourn turut menyampaikan ucaptamanya yang bertajuk “Kepimpinan Pendidikan Tinggi ASEAN: Merentasi Masa Depan Bersama”, yang menekankan kepentingan kerjasama serantau dalam memperkukuh daya saing pendidikan tinggi ASEAN.
Selepas majlis perasmian, YAB Timbalan Perdana Menteri turut meluangkan masa melawat pavilion dan reruai pameran yang memaparkan pelbagai hasil penyelidikan, inovasi serta ciptaan kreatif daripada Institusi Pendidikan TINGGI (IPT) awam dan swasta.
Beliau turut berinteraksi dengan pelajar, penyelidik dan usahawan muda yang mempamerkan idea baharu dalam bidang teknologi, keusahawanan sosial dan kemampanan, mencerminkan potensi generasi MADANI sebagai peneraju masa depan negara.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; barisan pengurusan tertinggi kementerian Dan IPT; wakil-wakil industri dan pertubuhan antarabangsa.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1023