Dato’ Sri Jailani Johari Dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah UPM Yang Baharu

12 Februari 2026 | Kuala Lumpur
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini mengumumkan pelantikan Dato’ Sri Jailani Johari sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM) yang baharu berkuat kuasa 7 Februari 2026.
Pelantikan strategik bagi tempoh tiga (3) tahun itu dilihat selari dengan komitmen Kementerian untuk memastikan kelangsungan kecemerlangan tadbir urus universiti.
Beliau merupakan tokoh yang memiliki latar belakang pendidikan kukuh dengan kelulusan dalam bidang undang-undang dari Universiti Malaya (UM) pada tahun 1989.
Kredibiliti beliau turut diperkasakan dengan pengalaman luas dalam tadbir urus korporat menerusi penglibatan di pelbagai agensi seperti SME Corp Malaysia dan Al-Hijrah Media Corporation.
Kementerian menaruh keyakinan tinggi bahawa kepimpinan beliau mampu memacu UPM sebagai pusat rujukan utama serantau dalam bidang pertanian moden, teknologi makanan dan kesihatan.
Sinergi pengalaman dan kepakaran beliau diyakini bakal memastikan UPM kekal relevan serta menyumbang secara signifikan kepada kelestarian alam sekitar dan agenda pembangunan negara.
KPT turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Pengerusi, Dato' Prof. Emeritus Dr. Ibrahim Komoo atas segala jasa dan bakti yang dicurahkan sepanjang memimpin UPM sebelum ini.
Hadir sama pada sesi penyerahan, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman.
- Last updated on .
- Hits: 1071
