“Dari Pintu Rumah Ke Pintu Harapan": Pelajar Terima Surat Tawaran IPT Dengan Air Mata Syukur

Di sebalik jerih-perih hidup di kawasan luar bandar Sabah, harapan untuk mengubah nasib keluarga kini menyala terang buat lima (5) anak muda Sepanggar apabila mereka menerima surat tawaran kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang disampaikan sendiri ke tangan mereka oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud pagi tadi.
Kelelahan seorang ibu membesarkan anak di Skim Penempatan Nelayan Menggatal cukup meruntun hati. Anaknya, Sarif Adam Abdullah, 18, baru sahaja menerima surat tawaran untuk menyambung pengajian dalam bidang Diploma Kejuruteraan Elektrik (Kecekapan Tenaga) di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Emak tak kerja, ayah hanya kerja sendiri dan jarang ada di rumah. Tapi kami tetap redha. Harap dia jaga diri baik-baik di tempat orang. Ini peluang yang datang sekali seumur hidup,” ujar ibunya dalam nada sedih namun tetap gembira anaknya berpeluang belajar hingga ke Semenanjung.
YB Timbalan Menteri menzahirkan harapan agar Sarif menjadi tenaga pakar dalam bidang kecekapan tenaga, seiring keperluan negara. Beliau turut memberi semangat agar semua pelajar menghargai usaha kerajaan dan pengorbanan ibu bapa.
“Kita datang bukan sekadar serah surat. Kita terangkan juga bagaimana Kerajaan MADANI dan Kerajaan Sabah mempermudahkan urusan anak-anak ini. Kita mahu anak Sabah bangkit, belajar bersungguh-sungguh dan kembali sebagai aset negara,” katanya dengan nada penuh harapan.
Anak muda lain, Mohamad Iqram Hakimi Mohd, juga tidak menyangka akan menerima tawaran menyambung pengajian Diploma Geomatik di Politeknik Merlimau, Melaka. Bagi Iqram, ini bukan sekadar surat. Ini adalah titik tolak perjalanan hidupnya sebagai anak Sabah yang mahu menjejakkan kaki ke Semenanjung demi ilmu.
“Minat saya dalam bidang ini kuat. Saya mahu buktikan anak Sabah juga mampu bersaing,” katanya yakin.
Sementara itu, Faiz Alfie, yang mendapat tawaran menyambung pelajaran dalam Sijil Teknologi Elektrik di Kolej Komuniti Beaufort, turut menzahirkan rasa syukur dan tekad untuk belajar bersungguh-sungguh walau bermula dari sijil.
“Yang penting bukan di mana kita bermula tetapi di mana kita berakhir. Ini permulaan awak," ujar YB Datuk Ts. Mustapha yang turut berkongsi kisah kejayaan pelajar yang berjaya menyambung pengajian dari Politeknik ke Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan seterusnya dihantar ke Jerman. Katanya, peluang sebegini terbuka luas jika pelajar berusaha dan tidak mudah menyerah.
Program ini menjadi simbol komitmen Kerajaan untuk tidak membiarkan mana-mana anak Sabah tercicir dari pendidikan tinggi hanya kerana jarak atau kekangan hidup. Dari rumah ke rumah, dari hati ke hati. Pendidikan dibawa hingga ke depan pintu, bersama doa dan harapan yang tidak pernah putus.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 107