42 Cef Muda Olah Warisan Kulinari Tempatan, Bukti Kejayaan Kerjasama Akademia-Industri

27 Ogos 2026 | Petaling, Selangor
Kerjasama strategik antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dengan pemain industri di peringkat tempatan dan antarabangsa merupakan antara pendekatan penting Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memastikan graduan dilengkapi kemahiran, pengalaman dan kompetensi yang menepati keperluan dunia pekerjaan masa hadapan.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Tuan Adam Adli Abd Halim berkata pendekatan itu diterjemahkan menerusi penglibatan 42 orang cef muda tempatan yang berjaya mengolah warisan kulinari pelbagai kaum di Malaysia dengan penggunaan kentang Idaho sebagai bahan utama.
Kejayaan berkenaan dizahirkan menerusi pelancaran buku masakan ‘Tentang Ubi dan Rempah-Ratus: Makanan Kegemaran Rakyat Malaysia Diolah Semula dengan Kentang Idaho’ (Of Spuds And Spices: Malaysian Favourite Food Reimagined With Idaho Potatoes) di sini siang tadi.
Naskhah berkenaan merupakan hasil kolaborasi unik antara Universiti Sunway (Sunway University) dengan Suruhanjaya Kentang Idaho (Idaho Potato Commission) dari Amerika Syarikat yang menggabungkan kepakaran akademik, pengalaman industri serta kreativiti pelajar dalam menghasilkan inovasi kulinari berteraskan identiti tempatan.
Menurut YB Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, kerjasama berkenaan selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang menekankan kepentingan kolaborasi dan hubungan strategik antara IPT dengan pelbagai pemegang taruh, termasuk industri, bagi memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara.
Beliau berkata pendidikan tinggi masa kini tidak lagi terhad kepada pembelajaran dalam ruang kuliah, sebaliknya perlu menjadi medan yang mempertemukan ilmu, industri, budaya dan kreativiti bagi melahirkan bakat yang mampu mencipta nilai serta beradaptasi dengan perubahan dunia pekerjaan.
Menerusi projek berkenaan, pelajar kulinari terlibat mengolah semula resipi tradisional masyarakat di Malaysia dengan menjadikan kentang Idaho sebagai bahan utama, sekali gus menghasilkan interpretasi baharu terhadap makanan yang dekat dengan cita rasa rakyat Malaysia.
Pendekatan itu bukan sahaja memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai pengalaman dan amalan industri sebenar, malah memperkukuh kemahiran teknikal, kreativiti, penyelesaian masalah serta keupayaan menghasilkan produk yang mempunyai nilai komersial.
Pada masa sama, pengalaman silang budaya dan pendedahan kepada rakan kerjasama antarabangsa turut membuka ruang kepada pelajar memahami perspektif pasaran global serta meneroka potensi cita rasa dan warisan makanan tempatan untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.
Kerjasama seumpama itu membuktikan bahawa hubungan erat antara akademia dan industri mampu mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna, selain menjadi platform untuk memperkasa bakat muda agar lebih yakin, kreatif dan bersedia memenuhi tuntutan industri masa hadapan.
Usaha berkenaan juga wajar dijadikan contoh kepada lebih banyak IPT untuk memperkukuh jalinan strategik dengan industri dalam membangunkan kurikulum dan pengalaman pembelajaran yang responsif terhadap keperluan pasaran, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Turut hadir, Kaunselor Pertanian Wilayah Amerika Syarikat (AS) bagi Malaysia, Singapura dan Brunei, Alicia Hernandez; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan Sunway, Dato' Prof. Dr. Elizabeth Lee; Pengarah Suruhanjaya Kentang Idaho Asia (Idaho Potato Commission Asia), Kenneth Wee; serta Presiden Universiti Sunway, Prof. Dr. Sibrandes Poppema.
- Last updated on .
- Hits: 14
