SIARAN MEDIA
BELANJAWAN MADANI 2027: SEKTOR PENDIDIKAN TINGGI
NEGARA TERUS DIPERKUKUHKAN
Belanjawan 2027 yang bertemakan “Belanjawan MADANI Kelima: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” menyaksikan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerima peruntukan sebanyak RM19.1 bilion, meningkat RM500 juta atau kira-kira 2.6 peratus berbanding RM18.6 bilion pada tahun 2026.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM15.13 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM3.96 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, merangkumi pelbagai inisiatif untuk memperkukuh prasarana, meningkatkan kualiti pendidikan, memperkasa penyelidikan dan inovasi serta menjaga kebajikan mahasiswa.
Peningkatan peruntukan ini mencerminkan komitmen dan perhatian berterusan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, serta Kerajaan MADANI terhadap pembangunan sektor pendidikan tinggi negara. Ia sekali gus memperlihatkan kesungguhan Kerajaan untuk memastikan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) terus diperkasa sebagai pusat kecemerlangan ilmu, pembangunan bakat dan inovasi, di samping memperluas akses pendidikan berkualiti serta menjamin kesejahteraan mahasiswa.
Bagi meningkatkan keselesaan dan kualiti persekitaran pembelajaran, Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM800 juta untuk menaik taraf prasarana usang di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), termasuk kemudahan bilik kuliah, kediaman mahasiswa dan peralatan pembelajaran. Usaha ini turut diperkukuh melalui pembangunan Residensi Mahasiswa Universiti Malaya yang bakal menyediakan kemudahan penginapan berkapasiti 10,000 mahasiswa serta pelaburan RM750 juta oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) menerusi Projek Vista Kampus di enam IPTA. Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kemudahan kampus, malah membantu menangani isu kos penginapan, rumah sewa dan pengangkutan yang dihadapi mahasiswa.
Aspek kebajikan dan kos sara hidup mahasiswa turut menjadi keutamaan. Peningkatan bantuan subsidi tiket penerbangan FLYSiswa kepada RM500 dijangka memanfaatkan lebih 60,000 mahasiswa IPTA, khususnya dalam meringankan kos perjalanan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Pada masa yang sama, Kerajaan meneruskan Program Dapur Siswa MADANI di Universiti Awam serta memperluas pelaksanaannya ke politeknik dan Institut Pendidikan Guru (IPG), sekali gus memastikan lebih ramai pelajar mendapat akses kepada makanan pada harga berpatutan sepanjang tempoh pengajian.
Dalam usaha memperkukuh kelestarian kewangan institusi pendidikan tinggi, Kerajaan turut memperkenalkan insentif potongan cukai pendapatan sehingga 10 peratus bagi sumbangan pihak luar kepada IPTA. Langkah ini dijangka menggalakkan penglibatan sektor korporat, industri, alumni dan masyarakat dalam menyokong pembangunan universiti serta kesejahteraan warga kampus.
KPT turut menyambut baik langkah Kerajaan memperkenalkan fleksibiliti bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dijangka memanfaatkan lebih 400,000 peminjam. Antara kemudahan yang diperkenalkan termasuk penangguhan bayaran balik bagi peminjam berpendapatan bawah RM2,500 sebulan, bayaran minimum RM50 bagi mereka yang berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 serta diskaun 10 peratus kepada peminjam tanpa tunggakan yang membuat bayaran secara konsisten. Insentif potongan cukai kepada majikan yang membantu melunaskan pinjaman pendidikan pekerja turut mencerminkan pendekatan lebih menyeluruh dalam meringankan komitmen kewangan graduan, di samping memperkukuh kelestarian dana pendidikan tinggi.
Bagi mempercepat pengkomersialan hasil penyelidikan universiti, penubuhan Dana UNIVC bernilai RM50 juta melalui kerjasama Kerajaan dan KWAP merupakan langkah strategik dalam merapatkan jurang antara penyelidikan, inovasi dan keperluan pasaran. Dana ini akan membuka lebih banyak peluang kepada penyelidik untuk menterjemahkan hasil penyelidikan serta harta intelek universiti kepada produk dan teknologi bernilai komersial. Pada masa yang sama, inisiatif ini akan memperkukuh kerjasama universiti, industri dan pelabur serta menyokong pertumbuhan ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi.
Belanjawan 2027 turut memberikan pengiktirafan kepada kecemerlangan bakat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara melalui penganjuran FIRA RoboWorld Cup ke-32 di Malaysia pada tahun 2027. Penganjuran ini menyusul kejayaan membanggakan kontinjen Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia (POLYCC) yang meraih 14 pingat pada FIRA RoboWorld Cup and Summit ke-31 di Kanada pada Julai 2026. Kejayaan tersebut membuktikan keupayaan bakat TVET tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa, khususnya dalam bidang robotik, automasi dan teknologi masa hadapan.
Secara keseluruhannya, Belanjawan MADANI 2027 memperlihatkan pendekatan seimbang antara pembangunan prasarana, kebajikan mahasiswa, sokongan kepada graduan, pemerkasaan penyelidikan dan pembangunan bakat masa hadapan. Setiap inisiatif yang diumumkan bukan sekadar melibatkan pertambahan peruntukan, tetapi merupakan pelaburan strategik bagi memastikan manfaat pendidikan tinggi dapat dirasai secara langsung oleh mahasiswa, graduan, warga akademia, institusi dan masyarakat.
KPT komited memastikan setiap peruntukan dan inisiatif yang diumumkan dilaksanakan secara berkesan, telus dan berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 untuk membangunkan ekosistem pendidikan tinggi yang inklusif, berkualiti, berdaya saing dan berteraskan kemanusiaan.
KPT turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri serta Kerajaan MADANI atas kepercayaan dan sokongan berterusan terhadap sektor pendidikan tinggi. KPT yakin bahawa pelaburan ini akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global, sekali gus melahirkan generasi berilmu, berkemahiran, berakhlak dan berupaya memacu kemajuan negara.
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
10 Oktober 2026
Muat Turun:
- Last updated on .
- Hits: 57
