logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

LAWATAN MENTERI PENDIDIKAN TINGGI KE PEKING UNIVERSITY DAN
HUAWEI BEIJING RESEARCH INSTITUTE PERKUKUH KERJASAMA
STRATEGIK PENDIDIKAN TINGGI MALAYSIA–CHINA


Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah mengadakan lawatan ke Peking University dan Huawei Beijing Research Institute sebagai sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkukuh kerjasama strategik Malaysia–China dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan, inovasi, teknologi dan pembangunan bakat.

Lawatan tersebut diadakan ketika YB Menteri Pendidikan Tinggi berada di Beijing dalam perjalanan pulang ke Malaysia selepas menghadiri Mesyuarat Ke-5 Joint Russia–Malaysia Commission for Economic, Scientific, Technical and Cultural Cooperation (JC-ESTC) di Vladivostok, Persekutuan Rusia.

Lawatan ke Peking University memberi tumpuan kepada usaha memperluas hubungan antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan China, khususnya menerusi penyelidikan bersama, pertukaran kepakaran dan ahli akademik, mobiliti mahasiswa serta pembangunan jaringan antara penyelidik kedua-dua negara.

KPT melihat potensi besar untuk memperkukuh hubungan antara universiti-universiti Malaysia dengan institusi terkemuka di China dalam bidang strategik dan teknologi masa hadapan, termasuk kecerdasan buatan (AI), sains dan teknologi, pengkomputeran, inovasi serta bidang penyelidikan berimpak tinggi.

Usaha tersebut merupakan kesinambungan kepada kerjasama pendidikan tinggi Malaysia–China yang telah diperkukuh menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara serta penubuhan Joint Committee (JC) bagi membincangkan dan menggerakkan hala tuju kerjasama pendidikan tinggi dua hala.

Dalam lawatan berasingan ke Huawei Beijing Research Institute, YB Menteri turut diberikan penerangan mengenai perkembangan terkini penyelidikan dan teknologi Huawei, khususnya dalam bidang AI, pengkomputeran awan, teknologi digital dan pembangunan bakat masa hadapan.

Huawei mempunyai jaringan kerjasama yang luas dengan institusi pendidikan tinggi Malaysia menerusi pelbagai inisiatif termasuk Huawei ICT Academy, latihan dan pensijilan industri, pembangunan bakat digital serta kerjasama teknologi dan penyelidikan.

YB Menteri menegaskan bahawa hubungan tersebut perlu diperkembangkan daripada latihan dan pensijilan kepada bentuk kerjasama yang lebih strategik melibatkan penyelidikan bersama, pembangunan teknologi, inovasi, AI, pembangunan bakat berkemahiran tinggi serta pemindahan ilmu dan kepakaran antara industri dengan universiti.

Menurut beliau, perkembangan teknologi yang begitu pantas memerlukan institusi pendidikan tinggi bukan sahaja mengikuti perubahan industri, tetapi turut menjadi rakan strategik kepada industri dalam membangunkan teknologi dan bakat masa hadapan.

Pendekatan ini juga selari dengan aspirasi pendidikan tinggi negara untuk memperkukuh hubungan universiti–industri dan memastikan mahasiswa serta penyelidik Malaysia mendapat pendedahan kepada teknologi, kepakaran dan ekosistem inovasi bertaraf global.

Lawatan ke Peking University dan Huawei Beijing Research Institute menggambarkan pendekatan KPT dalam membangunkan ekosistem kerjasama antarabangsa yang lebih menyeluruh melalui dua dimensi utama, iaitu hubungan universiti dengan universiti (university-to-university) serta hubungan universiti dengan industri (university-to-industry).

KPT percaya pengukuhan kedua-dua jaringan ini akan membuka lebih banyak peluang kepada mahasiswa, ahli akademik dan penyelidik Malaysia, selain mempercepat perkongsian ilmu, pembangunan teknologi dan penghasilan inovasi yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Kerjasama ini turut meneruskan agenda Malaysia–China untuk memperluas penyelidikan dalam teknologi maju seperti AI dan pengkomputeran serta menggalakkan perkongsian sumber, kepakaran, fasiliti dan penyelidikan antara institusi kedua-dua negara.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
18 Ogos 2026

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media - Lawatan Menteri Pendidikan Tinggi ke Peking University dan Huawei Beijing Research Institute Perkukuh Kerjasama Strategik Pendidikan Tinggi Malaysia–China(188 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 490
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 20 Ogos 2026, 09:15:36.

logo-sirim