TEKS UCAPAN
YB DATUK TS. MUSTAPHA SAKMUD
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi
MAJLIS PERASMIAN
KONVENSYEN KUMPULAN INOVATIF & KREATIF
HORIZON BAHARU (KIKHB 2024)
PERINGKAT KEBANGSAAN
29 OGOS 2024 (KHAMIS)
Terima Kasih Saudara/i Pengacara Majlis!
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan
Salam Sejahtera.
[RUJUK SALUTASI ]
1. Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-NYA kita dapat sekali lagi berkumpul di Majlis Perasmian Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Horizon Baru Peringkat Kebangsaan 2024 (KIKHB 2024).
2. Terlebih dahulu, saya mengambil kesempatan untuk merakamkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak jawatankuasa penganjur, Pusat Penyelidikan dan Inovasi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti dengan Kerjasama Politeknik Port Dickson selaku tuan rumah serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Konvensyen KIK Horizon Baru 2024, peringkat kebangsaan pada tahun ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
3. KIKHB 2024 merupakan satu platform untuk mengetengahkan kreativiti dan inovasi terbaik dalam bidang sosial dan perkhidmatan serta menjadi kunci utama dalam memantapkan sistem pendidikan kita bagi mempersiapkan generasi masa depan yang mampu bersaing di peringkat global. Melalui KIKHB 2024, saya melihat terhasilnya pelbagai inovasi yang memberi impak besar kepada bidang pendidikan, komuniti serta industri. Idea-idea yang diasaskan di sini mungkin akan menjadi teras kepada pembentukan dasar dan strategi pendidikan negara pada masa akan datang.
4. Penganjuran KIKHB 2024 pastinya selaras dengan ucapan YAB Perdana Menteri di Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi yang meminta agar di berikan ruang kepada kepimpinan IPT untuk mewujudkan idea-idea baharu dalam bidang Pendidikan, agar IPT negara mampu bersaing dengan lebih baik di peringkat serantau dan dunia, sekaligus melahirkan mahasiswa berdisiplin dan berkualiti tinggi.
5. Pendidikan tinggi di Malaysia kini dipacu dengan cemerlang menerusi lima fokus utama yang digariskan Kementerian Pendidikan Tinggi melalui 20 Landasan Hala Tuju yang memberi penekanan kepada pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi yang memfokuskan kajian berimpak, yang bukan saja mampu memperbaiki kehidupan rakyat tetapi juga menambahbaik ekonomi dan mengukuhkan aspek sosial negara. Justeru, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti perlu memberi penekanan dalam memastikan kecekapan dalam pengkomersilan hasil penyelidikan, agar ianya dapat mengubah penemuan saintifik menjadi produk atau perkhidmatan yang memberi nilai tambah dan menatijahkan ROI (Return of Investment) dan ROV (Return of Value).
Hadirin yang dihormati sekalian,
6. “Transformasi Unggul Inovasi Madani” merupakan tema yang bertepatan dengan teras ke-3 visi Malaysia Madani iatu Daya Cipta (inovasi) di mana daya cipta dibudayakan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Tema ini membawa kita ke arah sebuah masyarakat yang lebih dinamik dan inklusif, di mana inovasi bertindak sebagai pendorong utama pembangunan sambil memastikan kesejahteraan seluruh lapisan masyarakat. Daya cipta Inovasi ini akan menjadi salah satu rukun Malaysia Madani, yang akan mewujudkan proses perubahan berterusan dan seterusnya memberi impak kepada komuniti dan negara.
7. Konvensyen KIKHB perlu dijadikan wadah yang dapat menyatukan pemikiran kreatif dan inovatif dari pelbagai bidang. Ia bukan sekadar pertemuan, tetapi merupakan titik tolak untuk mencipta peluang baru, berkongsi idea, dan melakukan perubahan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
8. Sebelum saya mengakhiri ucapan, Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang telah mengambil bahagian dalam KIKHB 2024. Kesungguhan dan keazaman anda untuk mencetuskan idea-idea baru melalui inovasi sosial dan perkhidmatan adalah sangat penting dalam membawa perubahan yang positif kepada arus pendidikan tinggi negara. Akhir kata, semoga KIKHB 2024 akan menjadi anjakan yang bermakna untuk mendorong lebih banyak inovasi dan kreativiti dalam pendidikan tinggi.
Burung terbang hinggap di dahan,
Terbang ke sawah mencari padi,
Tahniah diucap setinggi awan,
Inovasi dan kreatif, teguh berdiri.
9. Dengan LAFAZ BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM SAYA MERASMIKAN MAJLIS PERASMIAN PENUTUP KONVENSYEN HORIZON BAHARU KUMPULAN INOVATIF DAN KREATIF PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2024.
Sekian,
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarokatuh.
Terima kasih!
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1054