TEKS UCAPAN
YB DATUK TS. MUSTAPHA SAKMUD
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi
MAJLIS PERASMIAN KAMPUS DAN KARNIVAL HARI TERBUKA CITY UNIVERSITY MALAYSIA (PUSAT WILAYAH SABAH)
15.06.2024 (Sabtu)
Bismillahir Rahmanir Rahim.
Assalamualaikum W.B.T dan Salam
Sejahtera
Salam Perpaduan
Salam Malaysia Madani
Salam Sabah Maju Jaya.
(RUJUK SALUTASI)
Pergi ke kebun memetik bunga,
Bunga diambil indah rupanya.
Belajar rajin penuh semangat,
Ilmu digali tambah berjaya.
Berlayar ke laut naik perahu,
Menikmati indahnya langit biru.
Semoga sukses dalam belajar,
Masa depan cerah terbuka untukmu.
1. Alhamdullillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin-NYA, dapat kita berkumpul bersama-sama pada pagi ini dalam MAJLIS PERASMIAN PUSAT WILAYAH DAN KARNIVAL HARI TERBUKA CITY UNIVERSITY MALAYSIA, CAWANGAN NEGERI SABAH.
Hadirin yang di hormati sekalian,
2. Saya sangat berbesar hati dan mengalu-alukan penubuhan Pusat Wilayah City University Malaysia di Negeri Sabah, kerana ini dapat memberi impak kepada perkembangan pendidikan tinggi yang berdaya saing sekaligus dapat membina sumber daya manusia yang lebih progresif untuk Negeri Sabah.
3. Negeri Sabah dan Sarawak mencatatkan jumlah lepasan SPM dan STPM antara yang tertinggi di Malaysia. Justeru, kita memerlukan lebih banyak institusi Pendidikan yang berpengalaman dan berprestasi bagi melahirkan graduan menepati permintaan industri.
4. Melihat Kembali Sejarah penubuhan City University Malaysia yang bermula pada tahun 1984 sehinggalah kini, pelbagai bidang pengajian yang ditawarkan telahpun mendapat akreditasi penuh Lembaga Pengiktirafan Pengajian Malaysia iaitu MQA. City University Malaysia juga telah berjaya menjalinkan Kerjasama industri bersama lebih 200 syarikat berprofile tinggi dalam dan luar negara. Kerjasama industri ini amatlah penting kepada para pelajar bagi menjalani Latihan industri sekaligus berpeluang mendapatkan pekerjaan setelah menamatkan pengajian.
Hadirin yang dihormati sekalian,
5. Penubuhan Pusat Wilayah City University Malaysia di Negeri Sabah ini, merupakan sebuah langkah yang tepat dan harus diberikan pujian. Kami di Kementerian Pendidikan Tinggi akan terus memberikan sokongan untuk memastikan anak-anak di Negeri Sabah dapat mengecap nikmat Pendidikan yang selayaknya seiring dengan negeri-negeri di semenanjung Malaysia.
6. Dinamika Pendidikan turut mempengaruhi keperluan sumber manusia sesuai dengan perkembangan industri semasa. Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Tinggi menyarankan City University Malaysia dan Institusi- institusi Pendidikan yang lain, mempelopori bidang Pendidikan Tvet yang amat diperlukan pada Ketika ini.Pelaburan asing yang memacu kepada pertumbuhan ekonomi negara amat memerlukan tenaga mahir dalam bidang Tvet, bagi memastikan pelaburan mereka menuai hasil sekaligus menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara berpendapatan tinggi.
7. Pendidikan merupakan jambatan utama kepada masa depan yang lebih baik. Justru itu, dengan penubuhan Pusat Wilayah City University Malaysia ini, tinggi harapan saya agar City University Malaysia dapat memberikan Pendidikan yang berkualiti sehingga mampu melahirkan graduan dengan kemahiran insaniah, memiliki pemikiran yang kritis dan idealis serta berwawasan tinggi, untuk Bersama- sama membangun generasi bangsa yang cemerlang.
8. Sebelum mengakhiri ucapan saya, di kesempatan ini juga, saya ingin titipkan pesanan kepada keluarga besar City University Malaysia. “Terapkan nilai kepimpinan dalam tindakan dan jadikan kelaziman sebagai satu kemestian.
9. Akhir kalam, sekali lagi saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada City University Malaysia diatas inisiatif menubuhkan Pusat Wilayah di Negeri Sabah. Tahniah dan Syabas saya ucapkan!
Mendayung sampan mudik ke hulu,
Sampai ke tebing dayung disimpan;
Warga berilmu tidak melulu,
Jadi bitara punya wawasan.
Wabillahi taufik Walhidayah W.B.T
Sekian, Terima Kasih!
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 631