logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATUK TS. MUSTAPHA SAKMUD
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi

MAJLIS PENYERAHAN PROJEK
PEMBINAAN DAN MENAIKTARAF JALAN MASUK UTAMA
SEPANJANG 1.5KM KE HOSPITAL PENGAJAR
UNIVERSITI MALAYSIA SABAH (UMS)

4 Oktober 2024 (Jumaat)


Terima Kasih Saudara/i Pengacara
Majlis !

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera

Salam Malaysia MADANI.

Salam Sabah Maju Jaya.

[SALUTASI]

1. Pertama, marilah kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama berkumpul di majlis yang penuh bermakna ini. Pada hari ini, kita meraikan satu lagi pencapaian dalam usaha kita memajukan infrastruktur negara, khususnya melalui pelaksanaan projek jalan masuk ke Hospital UMS.

2. Terlebih dahulu saya mewakili Kementerian Pendidikan Tinggi ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak khususnya JKR atas kejayaan menyiapkan Projek Pembinaan Dan Menaiktaraf Jalan Masuk Utama Sepanjang 1.5km Ke Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang merupakan antara komponen penting dalam Projek Pembinaan Hospital UMS.

3. Seperti mana yang semua sedia maklum, projek ini telah dilaksanakan oleh JKR Malaysia pada tahun 2021 dengan kos berjumlah RM19 juta.

YB, Datuk Seri, Dato’-Dato’, tuan-tuan dan puan-puan sekalian

4. Pihak KPT sentiasa komited dalam memastikan pelaksanaan projek- projek di bawah Peruntukan Pembangunan (DE) berjalan lancar dan disiapkan mengikut jadual dan standard yang ditetapkan. Pihak KPT memberi penekanan yang penting terhadap pelaksanaan dan penyiapan projek ini supaya ia dilaksana dan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

5. Sebagaimana yang kita maklum, pembangunan infrastruktur adalah tulang belakang bagi kemajuan sesebuah negara. Jalan raya bukan sekadar laluan pengangkutan, tetapi ia adalah nadi yang menghubungkan komuniti, mempercepatkan mobiliti dan merancakkan aktiviti ekonomi. Dengan penyerahan jalan ini, kita berharap dapat memberikan impak positif yang besar kepada masyarakat setempat terutamanya kepada kakitangan dan pelawat HUMS kelak.

6. Sekali lagi saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah serta setinggi- tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan projek ini. Terima kasih kepada pihak JKR Malaysia, JKR Sabah, agensi- agensi Kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan, syarikat utiliti, pihak kontraktor dan semua yang telah bekerja keras untuk memastikan projek ini berjaya disiapkan. Usaha dan dedikasi anda semua adalah cerminan komitmen kita terhadap pembangunan negara yang berkualiti.

7. KPT juga merakamkan ucapan setinggi penghargaan kepada pihak JKR Malaysia kerana telah menyiapkan Jalan Utama HUMS selari dengan jadual sebelum penyiapan Hospital Pengajar UMS agar Hospital UMS dapat beroperasi dengan lebih lancar setelah ia bakal siap dijangka pada Tahun 2025 kelak.

8. Sebagai penutup, marilah kita terus bekerjasama dalam menjayakan pelbagai inisiatif pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat. Dengan semangat kerjasama dan komitmen yang tinggi, saya yakin kita akan terus mencipta kejayaan demi kejayaan untuk negara tercinta ini.

Bersyukur kini kita panjatkan,
Majlis serah projek akan disempurnakan,
Sekalung penghargaan kami hulurkan,
Segulung tahniah kami ucapkan.

Sekian, terima kasih.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Muat Turun:

  pdf Teks Ucapan YBTM - Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Dan Menaiktaraf Jalan Masuk Utama Sepanjang 1.5KM Ke Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) (156 KB)

 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2005
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Ahad 16 Februari 2025, 13:00:25.

logo-sirim