logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATUK TS MUSTAPHA SAKMUD
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi

MAJLIS PERASMIAN MEGA KARNIVAL UniSZA 2024


Terima kasih kepada pengacara majlis.

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum W.B.T

Dan Salam Perpaduan, dan

Salam Malaysia Madani

(RUJUK SALUTASI)

Pelusuk nusantara kita serumpun,
Aluan salam bergema kedengaran,
Warga Karnival ramai berhimpun,
Menyusun jari mohon kerahmatan.

Songket bersulam indah berseri,
Menjadi idaman jejaka di hati,
Kita berazam di hari ini,
Mengukuh tekad Pendidikan tinggi.

1. Alhamdulillah, segala pujian dan syukur saya rafak ke hadrat Allah S.W.T dapat kita berkumpul di MEGA KARNIVAL UNISZA 2024. Selamat Datang!

2. Sekalung penghargaan kepada semua kakitangan dan mahasiswa UniSZA atas sokongan dan kerjasama kukuh bagi menjayakan karnival yang julung kali diadakan di UniSZA ini. Saya mengharapkan agar karnival sebegini dapat diteruskan pada tahun mendatang sebagai sebahagian daripada komitmen UniSZA untuk menyokong usaha negara dalam kelestarian komuniti, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals.

3. Tahniah dan syabas juga kepada semua Jawatankuasa dan Urus setia kerana berjaya menganjurkan Karnival ini. Sesungguhnya ia tidak akan mampu dilaksanakan tanpa komitmen dan kerjasama yang padu daripada semua pihak yang berkepentingan, secara langsung mahupun tidak langsung.

OBJEKTIF PROGRAM

Hadirin yang saya hormati sekalian,

4. Saya sungguh berbesar hati dan gembira berpeluang bertemu dengan semua yang hadir pada hari ini. Sesungguhnya, penganjuran Mega Karnival UniSZA 2024 ini mempunyai misi serampang dua mata iaitu merakyatkan pendidikan tinggi agar sampai kepada masyarakat serta mengeratkan silaturahim warga UniSZA, KPT dan rakyat setempat melalui himpunan program yang berlangsung selama 3 hari.

5. Saya percaya program Mega Karnival UniSZA ini merupakan program yang bertujuan merapatkan ukhuwah, mewujudkan semangat kekeluargaan dalam kalangan warga UniSZA dan komuniti setempat yang berbilang kaum dan agama, seiring dengan konsep MADANI yang serba terangkum dan sejagat (truly inclusive and universal). Dalam memaknai konsep ini, semangat saling bertanggungjawab, saling melindungi dan semestinya saling menyayangi perlulah sentiasa dinamik dan utuh sepanjang waktu dalam diri kita semua.

6. Dalam konteks wawasan negara, gagasan Malaysia Madani yang ditegaskan oleh YAB Perdana Menteri harus tegar menjentik nurani kita, menuntut kita menekuni proses dan pengamalan kependidikan kita. Maka, seluruh warga institusi pendidikan tinggi perlu melazimi budaya ilmu dan budaya wacana, meraikan kebebasan akademik, kemerdekaan berfikir dan berekspresi, serta istiqamah atas landasan dan prinsip menghormati, dengan teguh berpegang kepada nilai integriti intelektual.

7. Izinkan saya mengulang seruan Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi bahawa kita sebagai warga KPT sebenarnya menggalas bebanan tanggungjawab berat terhadap masyarakat. Justeru, tanggungjawab bersama ini harus dilunaskan dan dituntaskan menerusi gerak kerja berpasukan dengan prinsip 3 K iaitu “kolaborasi”, “kordinasi” dan “kerjasama”. Tidak kira siapa anda, sama ada pengurusan tertinggi, para pensyarah, kakitangan bukan akademik, staf sokongan, para pelajar, ibu bapa, ALUMNI dan rakan- rakan strategik pendidikan tinggi negara, sahutlah suara ini.

HARAPAN

Hadirin yang saya kasihi sekalian,

8. Setiap daripada kita, tidak kira bangsa atau agama, tidak kira umur atau belia, sama ada berpendidikan tinggi atau tidak berpendidikan, miskin atau kaya, berperanan untuk menggerak upaya keberhasilan gagasan Malaysia Madani.

9. Kita hidup dalam sekitaran yang sama, menghela udara yang sama dan menikmati kemakmuran yang sama. Justeru kemajuan fizikal, sosial dan ekonomi tidak akan bermakna jika kita gagal melestarikan kapasiti manusiawi secara menyeluruh dan berimbang.

10. Saya berharap agar inisiatif penganjuran Karnival ini dapat mewujudkan kesedaran dan persefahaman kepada semua warga kerja dan komuniti dalam memelihara hubungan antara warga yang berlangsung dalam keadaan yang harmoni, dilandasi dengan nilai hormat dan kasih sayang, beradab serta cinta ilmu.

11. Saya sekali lagi ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang hadir pada hari ini kerana sudi meluangkan waktu untuk sama-sama memeriahkan majlis ini.

12. DENGAN LAFAZ BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM,

SAYA MERASMIKAN PROGRAM MEGA KARNIVAL UNISZA 2024.

Wassalamualaikum W.B.T

Sekian, terima kasih.

Muat Turun:

pdf MAJLIS PERASMIAN MEGA KARNIVAL UniSZA 2024 (155 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 678
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 12 Julai 2024, 03:02:21.