logo kpt black

TEKS UCAPAN

YBHG. DATO' SERI IR. DR. ZAINI B. UJANG
KETUA SETIAUSAHA
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS PENUTUPAN
PROGRAM PROFICIENCY CERTIFICATE FOR
ENTREPRENEURSHIP EDUCATORS 3.0
(ProCEEd 3.0)

4 JUN |SELASA | 3 PETANG


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Terima kasih kepada Saudara/Saudari Pengacara Majlis.

SALUTASI

Disediakan Di Rostrum.

PEMBUKA BICARA

Bismillahirrahmanirrahim,

1. Saya ingin memulakan ucapan ini dengan rasa kesyukuran kerana dengan limpah izin NYA dapat kita bersama-sama berada di dalam Majlis Penutupan Program Proficiency Certificate for Entrepreneurship Educators (ProCEED) 3.0 pada petang ini.

2. Terlebih dahulu, saya ingin menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Jawatakuasa Penganjur yang telah bertungkus-lumus mengatur dan menjayakan pelaksanaan program ProCEED serta penganjuran majlis penutup pada hari ini. Tahniah dan syabas kepada Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED), Universiti Teknologi MARA (UiTM) selaku IPT Penyelaras program.

3. Kolaborasi di antara IPT, agensi kerajaan, syarikat-syarikat swasta dan Kementerian dalam menjayakan program, khususnya dalam bidang keusahawanan adalah suatu inisiatif yang amat baik dan perlu diteruskan. Saya percaya menerusi kerjasama erat seperti ini, keternampakan hasil program yang dilaksanakan akan dapat dilonjakkan lagi ke satu tahap yang lebih cemerlang.

GRADUAN DENGAN CIRI KEUSAHAWANAN

4. Kemahiran keusahawanan merupakan salah satu kemahiran yang digalakkan bagi pelajar dan para graduan. Kemahiran ini dapat memupuk sifat positif, daya kreativiti serta minat yang tinggi dalam bidang keusahawanan. Graduan yang mempunyai ciri keusahawanan mampu untuk mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan kepada graduan yang lain.

5. Saya merasa bangga melihat penglibatan tenaga pengajar dari pelbagai Institusi Pendidikan Tinggi di bawah naungan Kementerian Pendidikan Tinggi yang telah hadir bukan sekadar memenuhi tanggangjawab, tetapi telah pulang membawa ilmu yang hebat demi meningkatkan kualiti pendidikan di dalam mendidik para usahawan dalam kalangan siswa. Kita inginkan para graduan dan siswa di Malaysia berada di dalam sektor keusahawanan global dan berjaya mencebur diri di arena antarabangsa, tidak mudah mengalah dan terus maju menghadapi segala cabaran di dalam bidang keusahawanan.

KEUSAHAWANAN DI SEKTOR PENDIDIKAN TINGGI

Hadirin yang saya muliakan,

6. KPT amat komited dalam memenuhi hasrat Kerajaan untuk membangunkan lebih ramai bakat usahawan dalam kalangan pelajar dan graduan. Dalam konteks ini, Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi 2021–2025 dan Garis Panduan Pendidikan Keusahawanan Bersepadu merupakan dokumen yang menjadi sumber rujukan utama IPT dalam melahirkan lebih ramai usahawan pelajar dan usahawan graduan selain menzahirkan komitmen berterusan KPT dalam meneruskan agenda keusahawanan yang telah dimulakan sejak tahun 2010.

7. Usaha dalam melahirkan bakat usahawan dalam kalangan siswazah tidak akan dapat dijayakan tanpa komitmen tinggi daripada tenaga pengajar atau mentor-mentor keusahawanan di IPT. Pada tahun 2023, seramai lebih 4,500 orang tenaga pengajar atau pembimbing daripada Universiti Awam di seluruh negara telah menerima latihan kemahiran dan mempunyai kepakaran untuk melatih serta membimbing pelajar dalam bidang keusahawanan.

8. Mentor dan tenaga pengajar yang terlatih ini diharapkan dapat membantu Kementerian menarik minat lebih ramai pelajar IPT untuk terlibat dalam bidang keusahawanan dan sekali gus memilih keusahawanan sebagai kerjaya pilihan selepas mereka bergraduat.

PROGRAM PROFESSIONAL CERTIFICATE FOR ENTREPRENEURSHIP EDUCATORS (PROCEEDS)

Hadirin yang saya hormati sekalian,

9. Program ProCEEd 3.0 merupakan inisiatif KPT bagi meningkatkan keberkesanan pedagogi pengajaran dalam pembelajaran keusahawan di IPT agar lebih entrepreneurial dan efektif. Ia juga merupakan salah satu inisiatif professional enhancement yang amat penting dalam menerapkan kemahiran keusahawanan dan kemahiran untuk membimbing kepada setiap tenaga pengajar yang berada di IPT untuk menjadi seorang mentor perniagaan yang berwibawa.

10. Saya dimaklumkan pada program kali ini, seramai 76 orang peserta daripada 20 buah IPT telah menamatkan latihan pada 23 hingga 29 Oktober 2023 yang berlangsung di Institute of Leadership and Development (ILD) UiTM Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan. Saya turut difahamkan bahawa para peserta telah mengikuti tiga (3) Modul iaitu Modul 1 (Asas Keusahawanan), Modul 2 (Keusahawanan Digital) dan Modul 3 (Endurance Keusahawanan Sosial). Sehubungan itu, saya berharap agar semua peserta program yang telah menamatkan latihan pada hari ini dapat memberikan komitmen tinggi dan istiqamah dalam membimbing atau menjadi business coach kepada pelajar selepas ini. Insyaallah, dengan tekad dan semangat yang cekal lebih ramai usahawan dalam kalangan pelajar dan graduan dapat kita hasilkan.

Para hadirin sekalian,

11. Sejak dari edisi pertama pelaksanaan ProCEED, pelbagai penambahbaikan serta kemajuan telah dilaksanakan berdasarkan maklum balas yang diterima daripada peserta dan tinjauan keperluan pasaran semasa. Melalui penambahbaikan yang berterusan ini, penganjuran ProCEED 3.0 telah melibatkan agensi seperti Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

12. Melalui ledakan Revolusi Industri 4.0 yang dipacu oleh digitalisasi dan kecerdasan buatan, semestinya para mentor yang dilatih perlu diberi kemahiran dalam bidang-bidang berkaitan agar mereka lebih yakin untuk membimbing usahawan siswa di IPT masing-masing. Justeru penglibatan MDEC dalam pembangunan modul keusahawanan yang merupakan antara modul yang diperkenalkan pada ProCEED kali ini amat signifikan. Terima kasih saya ucapkan kepada pihak MDEC atas kerjasama yang diberikan dalam program ini.

HARAPAN, UCAPAN TAHNIAH DAN PENUTUP BICARA

13. Saya ingin menyeru sekali lagi kepada semua peserta ProCEED 3.0 untuk melipatgandakan usaha bersama-sama dengan Kementerian dan IPT masing-masing menerusi apa jua bentuk sumbangan dan penglibatan bagi melahirkan lebih ramai usahawan pelajar serta graduan. Sesungguhnya, usaha secara kolaboratif antara semua pihak sudah pasti akan membuahkan kejayaan yang lebih memberangsangkan.

14. Saya berharap agar ProCEEd 3.0 ini bukan program terakhir yang akan dilaksanakan. Semoga usaha kita akan mendapat berkat dan kejayaan yang cemerlang. Syabas sekali lagi kepada peserta ProCEED yang berjaya menamatkan program ini dengan jayanya, tahniah saya ucapkan! Semoga kejayaan ini menjadi sebahagian daripada langkah bermakna perjalanan anda untuk bergelar seorang mentor usahawan yang berjaya.

Dengan lafaz yang mulia, Bismillahirrahmanirrahim,

saya dengan ini menutup Program Proficiency Certificate For Entrepreneurship Educators (ProCEED) 2022.

Sekian.

Wabillahitaufik Walhidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi Wabarakatuh.
Terima kasih.

Muat Turun:

pdf Teks-Ucapan-KSU-KPT-Majlis-Penutup-PROCEED3.0.pdf (167 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 496
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 12 Julai 2024, 03:02:21.