TEKS UCAPAN ALUAN
YBHG. DATO’ SERI ABDUL RAZAK BIN JAAFAR
KETUA SETIAUSAHA
MAJLIS APRESIASI ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI TAHUN 2022
1 JUN 2023
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Malaysia MADANI.
Yang Berhormat Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin,
Menteri Pendidikan Tinggi;
Yang Berhormat Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal,
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi;
Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haji Megat Sany bin Haji Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar),
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT);
Yang Berbahagia Datuk Dr. Mohd Zabri bin Yusoff,
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), KPT;
Ketua-ketua Jabatan, Bahagian dan Agensi;
Naib-naib Canselor;
Pegawai-pegawai cemerlang KPT yang diraikan; dan
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya kasihi sekalian.
PEMBUKA KATA
- Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri dan juga Yang Berhormat TImbalan Menteri, atas kesudian untuk meluangkan masa bersama-sama dengan warga KPT dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan KPT 2022 hari ini. Pastinya kehadiran Yang Berhormat berdua memberikan makna yang lebih signifikan lagi, terutamanya kepada mereka yang diraikan.
- Alhamdulillah dengan izin-Nya jua, pada hari ini kita dapat sama-sama meraikan seramai 120 orang warga Kementerian serta Jabatan dan Agensi di bawah KPT, yang telah mempamerkan prestasi kerja cemerlang sepanjang tahun 2022.
- Untuk majlis kali ini, kita akan meraikan seramai sembilan (9) orang penerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC), 108 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan buat julung-julung kalinya juga, tahun ini diwujudkan satu anugerah khas baharu oleh Yang Berhormat Menteri, iaitu Anugerah Kecemerlangan Perdana yang mengiktiraf kecemerlangan Ketua Jabatan.
- Dan untuk makluman semua, penilaian bagi menentukan penerima anugerah-anugerah ini adalah berdasarkan kepada keunikan, ketetapan dan kepentingan jenis anugerah sendiri. Jadi saya percaya, setiap penerima pasti sangat menghargai pengiktirafan yang diberikan kerana nilainya. Sudah tentu juga ini akan memberikan suntikan semangat kepada keseluruhan warga KPT untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang dan komited pada masa-masa yang akan datang, insya-Allah.
EKSPEKTASI KE ATAS PENJAWAT AWAM
Hadirin yang saya hormati sekali,
- Perkhidmatan awam merupakan tulang belakang kepada negara. Justeru, menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa memberikan yang terbaik kepada rakyat. Ini boleh kita lakukan melalui pelaksanaan penambahbaikan yang berterusan terhadap sama ada dari segi sistem, peraturan, proses kerja, serta penghasilannya agar benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat.
- Dalam hal ini, suka saya mengingatkan semula kepada warga KPT sekalian akan gagasan “The G.R.E.A.T. Civil Service” yang dilontarkan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Ketua Setiausaha Negara dalam ucapan amanatnya pada awal tahun lalu.
G – Good Governance (Tadbir Urus Terbaik)
R – Responsible (Bertanggungjawab)
E – Empathy (Ihsan)
A – Accountability (Kebertanggungjawaban)
T – Tenacity of Purpose (Fokus Kepada Matlamat)
- Saya tidaklah berniat untuk menghuraikan dengan lebih lanjut berkenaan dengan perkara ini. Malah, kalau diperhatikan, lima (5) perkara ini selalu sahaja disebut dan menjadi inti pati dalam ucapan, di mana-mana forum. Kalau tidak kelima-limanya, pasti salah satunya akan ada juga. Tinggal untuk kita praktikkan sahaja.
- Harapan saya, warga KPT sekalian dapat menghayati setiap satu daripadanya, demi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Insya-Allah, pada akhirnya nanti, ini akan mendukung jua kepada usaha menjayakan Gagasan ‘Malaysia MADANI’ yang diperkenalkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Sama-sama kita realisasikan.
Hadirin yang saya hormati sekali,
- Tahun ini merupakan tahun terakhir saya berkhidmat sebagai penjawat awam selepas 35 tahun dalam perkhidmatan awam. Sepanjang perkhidmatan, saya berpeluang untuk menimba pengalaman di tiga (3) peringkat kerajaan, iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan.
- Setiap tempat saya berkhidmat memberikan saya pengalaman yang berbeza dan amat berharga. Justeru, pesan saya kepada warga KPT khususnya penjawat awam muda, jangan mudah berasa selesa dengan kemahiran yang ada. Sebaliknya, sentiasalah berusaha menimba pengalaman baharu. Bak kata Winston Churchill “to improve is to change, to be perfect is to change often”.
- Dalam pada itu juga, saya ingin mengingatkan agar warga KPT khususnya, sentiasa memelihara integriti sepanjang masa. Apabila bercakap mengenai integriti ini, kita kena ingat bahawa skopnya bukanlah semata-mata kepada isu rasuah. Tetapi lebih daripada itu.
- Integriti merangkumi juga sifat jati diri dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab. Penjawat awam perlu peka dengan apa yang salah tetapi biasa dilakukan. Contohnya, minum pagi di waktu pejabat yang sering diperkatakan oleh masyarakat umum. Budaya minum pagi di pejabat ini seolah-olah telah menjadi noda yang sebati dengan penjawat awam.
- Tidak ketertaluan jika saya katakan amalan ini boleh dianggap sebagai “rasuah masa”. Waktu pejabat digunakan sewenang-wenangnya sehingga menjatuhkan imej perkhidmatan awam secara keseluruhan, ibarat nila setitik yang merosakkan susu sebelanga.
- Dapat pula sejenis orang ini, yang sikit-sikit rakam, sikit-sikit rakam. Selepas itu jadi viral, sampai disalahertikan oleh maysarakat di luar sana. Jadi, nasihat saya, berhati-hatilah dengan tindak-tanduk kita, baik yang merakam atau pun yang dirakam, agar tidak mencemarkan nama perkhidmatan awam.
PENUTUP
Hadirin yang saya hormati sekalian,
- Sebelum mengakhiri ucapan, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan majlis pada hari ini terutamanya Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), KPT. Sesungguhnya, tanpa kerjasama semua pihak, majlis pada hari ini tidak akan dapat dilaksanakan.
- Terima kasih sekali lagi juga kepada Yang Berhormat Menteri dan Yang Berhormat Timbalan Menteri yang dapat hadir pada hari ini.
- Akhir kata, kepada semua warga KPT, jadilah seperti gula, walaupun telah larut dan tidak lagi wujud tapi kemanisannya tetap dapat dirasai. Tinggalkanlah legasi dengan memberikan perkhidmatan terbaik walau di mana sahaja anda berkhidmat, walau di gred apa anda berada.
- Tahniah sekali lagi diucapkan kepada semua penerima pengiktirafan perkhidmatan cemerlang KPT 2022. Jadikanlah anugerah ini sebagai batu loncatan untuk pergi lebih jauh dan berkhidmat dengan lebih cemerlang. Insya-Allah.
Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 17241