UMT Dan UPNM Terima Timbalan Naib Canselor Baharu

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menyampaikan surat pelantikan kepada dua (2) Timbalan Naib Canselor Universiti Awam di pejabat beliau pada 8 Ogos lalu.
Prof. Dr. Muhammad Ikhwanuddin Abdullah @ Polity Ak Kria dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkuat kuasa 11 Ogos 2025.
Beliau mempunyai latar belakang akademik dalam bidang Biologi Marin serta pengalaman luas dalam menerajui projek penyelidikan berimpak tinggi dan penerbitan jurnal bereputasi di peringkat nasional dan antarabangsa.
Sebelum pelantikan ini, beliau merupakan Pengarah Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP), UMT dari tahun 2019 hingga 2025 dan telah memberi sumbangan besar dalam mentransformasikan bidang penyelidikan di universiti tersebut, termasuk menjalin kolaborasi dengan 21 universiti luar negara serta memperoleh geran penyelidikan berjumlah RM4.7 juta dari dalam dan luar negara.
Sementara itu, Prof. Ts. Dr. Norhana Abdul Halim dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berkuat kuasa 18 Ogos 2025.
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Fizik dan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Advanced Material dari Universiti Malaya, serta pernah terlibat secara langsung dalam pembangunan kurikulum pengajian asasi UPNM.
Selain itu, beliau juga aktif menyertai persidangan dan pameran akademik, dan pernah menerima pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Pengalaman beliau dalam kepimpinan dan pentadbiran universiti turut merangkumi pelbagai jawatan penting di UPNM, termasuk sebagai Ketua Jabatan, Timbalan Pengarah dan Pengarah di Pusat Asasi Pertahanan.
Kementerian yakin pelantikan kedua-dua Timbalan Naib Canselor ini akan memperkukuh budaya ilmu dan memangkin kecemerlangan institusi pendidikan tinggi negara serta melahirkan graduan berdaya saing dan pemikir strategik untuk kemajuan negara.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 437