Malaysia Tuan Rumah Sidang Meja Bulat Menteri-Menteri Pendidikan Dan Pendidikan Tinggi ASEAN 2025

Malaysia terus memperkukuh peranannya dalam landskap pendidikan serantau apabila menjadi tuan rumah kepada Sidang Meja Bulat Menteri-Menteri Pendidikan dan Pendidikan Tinggi ASEAN 2025 yang dibuka secara rasmi pagi tadi.
Sidang berprestij ini dihoskan secara bersama oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, memperlihatkan kesepaduan dua Kementerian dalam memperkasa kerjasama pendidikan di rantau ASEAN.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir bersama Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek telah turut menyambut kehadiran para menteri dan delegasi dari negara-negara ASEAN termasuk Timor-Leste.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti SosioBudaya (ASCC), San Lwin; Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Dunia Islam (ICESCO), Dr. Salim M. AlMalik; serta Pengarah merangkap wakil Pejabat Rentas Rantau bagi Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Timor-Leste UNESCO, Maki Katsuno-Hayashikawa.
Petang nanti, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry akan mempengerusikan Sidang Meja Bulat Menteri-Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN yang bakal memberi tumpuan kepada tema utama persidangan, iaitu “Mendepani Cabaran Dekad Akan Datang dan Masa Hadapan.”
Menjelang sidang ini, beberapa program telah dianjurkan oleh KPT termasuk sesi pembentangan “Bridging ASEAN Higher Education” yang bertujuan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pendidikan tinggi dalam kalangan pelajar serantau.
Selain itu, Malaysia dan Timor-Leste turut memeterai Memorandum Kerjasama (MoU) dalam bidang pendidikan tinggi yang merangkumi kerjasama strategik dalam latihan pengajar, pembangunan kurikulum dan pemerkasaan ekosistem TVET negara tersebut.
YB Menteri turut menyampaikan sijil kepada pelajar Songkhla Rajabhat University, Thailand yang menyertai Program Edutourism: Langkawi Edutourism Geopark Odyssey (LET’s GO), sebuah inisiatif bersepadu yang menggabungkan elemen pendidikan, pelancongan dan pemuliharaan alam sekitar.
Turut dilancarkan ialah platform GlobalASEAN.org, sebuah gerbang pembelajaran digital serantau yang menghimpunkan pelbagai sumber seperti latihan dalam talian, program micro-credential, bahan peningkatan kemahiran dan akses kepada dasar awam untuk manfaat pendidik, belia, pembuat dasar serta institusi di seluruh ASEAN.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 222