KPT Pamer Komitmen Padu Perkukuh Pendidikan Tinggi Serantau

KPT Pamer Komitmen Padu Perkukuh Pendidikan Tinggi Serantau

Komitmen Malaysia dalam memperkukuh kerjasama pendidikan tinggi serantau terus diperkasakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui penganjuran 'Bridging ASEAN Education Session' bersempena Sidang Meja Bulat Menteri Pendidikan dan Pendidikan Tinggi ASEAN 2025 yang berlangsung di MAHA Tower pagi tadi.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam ucapan pembukaannya di hadapan para delegasi ASEAN serta Timor-Leste menegaskan bahawa “education is an act of care” yang berperanan penting dalam membentuk watak, membina bakat serta menyediakan generasi akan datang untuk memikul tanggungjawab masa hadapan.

Beliau menekankan peranan penting agensi-agensi di bawah KPT seperti Education Malaysia Global Services (EMGS), Malaysian Qualifications Agency (MQA) dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dalam membangunkan sistem pendidikan tinggi yang inklusif, berkualiti dan bertaraf antarabangsa.

Jelasnya, sistem pendidikan tinggi Malaysia menyediakan laluan akademik dan vokasional dari universiti penyelidikan hinggalah ke kolej komuniti. TVET pula menjadi teras usaha ini, dengan kerjasama industri dalam sektor teknologi digital, tenaga bersih dan pembuatan pintar, ujar beliau.

Program tersebut turut menyaksikan pembentangan fungsi dan peranan agensi-agensi KPT iaitu oleh Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS), Novie Tajuddin; Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Dato’ Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran; dan Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Prof. Dr. Harshita Aini Haroon.

Turut diadakan, sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pendidikan tinggi antara Malaysia yang diwakili oleh YB Menteri dengan Timor-Leste yang diwakili oleh rakan sejawat beliau, TYT José Honório da Costa Pereira Jerónimo.

Selain itu, turut diadakan sesi penyampaian sijil kepada 20 orang pelajar Rajabhat University, Thailand yang telah menyertai program Langkawi Edutourism Geopark Odyssey (Let's GO!) kendalian Langkawi Tourism Academy@Kolej Komuniti Langkawi.

Dalam ucapannya juga, YB Menteri turut menyatakan bahawa pelbagai inisiatif seperti Graduate Pass dan ASEAN GEMS yang melibatkan lebih 311 penyedia biasiswa dengan komitmen melebihi RM19 juta, mencerminkan iltizam rantau ini untuk menjadikan pendidikan sebagai pemacu kemakmuran bersama.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim serta para Pegawai Kanan Kementerian. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 203
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 17 Julai 2025, 03:04:24.

logo-sirim