English translation not available for this content.

logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATO’ SERI DIRAJA DR. ZAMBRY BIN ABD KADIR
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

UCAPAN PENGGULUNGAN PERBAHASAN BELANJAWAN 2025 PERINGKAT DASAR

11 NOVEMBER 2024 (ISNIN )


PENDAHULUAN

Bismillahhirrahmannirrahim.

1. Assalamu’alaikum Warrahmatulahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, dan Salam Malaysia Madani. Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Terlebih dahulu izinkan saya, bagi pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober 2024 yang lalu.

2. Berdasarkan pengumuman Belanjawan 2025, terdapat peningkatan kepada peruntukan yang diberikan kepada KPT iaitu sebanyak 10.76 peratus berbanding tahun 2024. Bagi tahun 2025, KPT telah diperuntukkan sebanyak RM18,097,086,800 yang meliputi RM13,846,253,700 (Perbelanjaan Mengurus) dan RM4,250,833,100 (Perbelanjaan Pembangunan). Ini secara tidak langsung menggambarkan betapa pentingnya peranan Kementerian ini sebagai pemangkin kerangka Ekonomi MADANI melalui bidang pendidikan tinggi.

3. Justeru, KPT akan terus komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif dan program bagi menyokong pencapaian aspirasi Belanjawan 2025: ‘Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat'.

Puan Yang di-Pertua,

4. Sepanjang sesi perbahasan Belanjawan 2025 peringkat dasar kali ini pelbagai persoalan dan saranan telah diutarakan oleh Ahli-ahli Dewan yang mulia ini kepada Kementerian Pendidikan Tinggi. Bagi pihak KPT, saya merakamkan penghargaan kepada semua 32 orang Ahli Yang Berhormat yang telah membahaskan perkara- perkara dan isu-isu yang berada di bawah tanggungjawab Kementerian ini semasa sesi perbahasan Belanjawan 2025.

5. Bagi menjawab dan mengulas segala perkara berkaitan Kementerian Pendidikan Tinggi yang telah dibangkitkan sepanjang minggu perbahasan, saya akan mengelompok dan mencerakinkan isu-isu utama mengikut topik bagi menjimatkan masa.

I. REFORMASI PENDIDIKAN

Puan Yang di-Pertua,

6. Saya buka sesi penggulungan bagi Kementerian Pendidikan Tinggi pada hari ini dengan menyantuni isu yang dibahaskan oleh YB Indera Mahkota berkenaan Reformasi Pendidikan. Saya berterima kasih kepada YB Indera Mahkota yang sentiasa cakna dan mengambil berat tentang isu-isu berkaitan landskap pendidikan tinggi negara.

7. Kita semua menyedari dunia kini tidak lagi seperti biasa di mana persekitaran global sedang berubah dengan pantas. Ketidaktentuan dalam landskap dunia menunjukkan bahawa apa yang kita anggap normal sebelum ini semakin berubah, termasuklah ekosistem pendidikan tinggi. Justeru, adalah penting untuk kita menyesuaikan kerangka pendidikan tinggi negara agar seiring dengan perubahan yang sedang berlaku di dalam landskap pendidikan tinggi supaya kita tidak ketinggalan.

8. Justeru itu, pihak Kementerian Pendidikan Tinggi kini sedang giat membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia atau (PPPTM) 2026-2035 dan dalam pembangunan Pelan ini kita juga mengambil kira lima (5) kerangka yang telah dicadangkan oleh YB Indera Mahkota di dalam perbahasannya.

9. KPT turut menggunakan semua laporan reformatif sebagai input utama untuk membangunkan PPPTM 2026-2035, antaranya adalah Laporan Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional dan kajian dengan izin, New Horizon for Science, Technology and Innovation – A Strategy To Enhance Higher Education In Malaysia.

10. PPPTM 2026-2035 yang sedang dibangunkan menetapkan 10 lonjakan dan sembilan (9) peralihan/ game changers penting, antaranya adalah:

(i) Daripada pendidikan berstruktur (structured education) kepada pendekatan unbundling of education, yang memberikan peluang kepada lebih ramai individu untuk mendapatkan pendidikan tinggi melalui pendidikan fleksibel dan pembelajaran sepanjang hayat.
(ii) Daripada menghasilkan graduan yang mencari kepada graduan yang mencipta pekerjaan, dengan penekanan kepada kemanusiaan, kemahiran masa depan, serta kepekaan terhadap alam sekitar.
(iii) Daripada ahli akademik berfokus output kepada impak kepada masyarakat dan planet.
(iv) Kepimpinan dan pentadbiran berfokus proses kepada pendekatan yang lebih inovatif.
(v) Sistem pendidikan tinggi konvensional dan silo kepada yang menggunakan sepenuhnya teknologi terkini.
(vi) Daripada indidividu celik teknologi kepada kompetensi dalam teknologi, inovasi dan insaniah.
(vii) Institusi akan mengadaptasi model kewangan baharu yang lebih mampan.
(viii) Pengantarabangsaan pendidikan tinggi bukan hanya tertumpu pada menarik pelajar antarabangsa, tetapi juga akan melibatkan pengeksportan pendidikan tinggi ke luar negara.
(ix) Membangunkan kerjasama pintar iaitu berubah daripada pendekatan kerja silo kepada melalui pendekatan “whole-of- nation approach”.

11. Saya percaya apa yang sedang kita usahakan ini akan dapat mewujudkan ekosistem pendidikan tinggi negara yang lebih kondusif, berdaya tahan dan berdaya saing.

II. AKADEMIK, KURIKULUM, PENYELIDIKAN & PENSYARAH

Puan Yang di-Pertua,

12. Apabila bercakap tentang pendidikan tinggi, sudah tentu hal-hal berkaitan akademik dan kurikulum, pensyarah serta penyelidikan tidak ketinggalan. Sepanjang sesi perbahasan Belanjawan 2025, YB Bentong, YB Shah Alam, YB Paya Besar, YB Temerloh, YB Kemaman, dan YB Indera Mahkota telah memberikan pandangan mereka berhubung perkara-perkara tersebut. Terima kasih saya ucapkan di atas keprihatinan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian.

13. Saya ambil maklum di atas cadangan YB Paya Besar dan YB Shah Alam untuk kita tawarkan program atau kursus berkaitan halal management atau pengurusan halal kepada pelajar-pelajar warganegara dan juga pelajar antarabangsa.

14. Untuk makluman Dewan, sehingga kini terdapat 37 program Halal mendapat Akreditasi Penuh merangkumi peringkat Diploma hingga Ijazah Kedoktoran, 13 program mendapat Akreditasi Sementara yang ditawarkan oleh Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan juga Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS).

15. Terkini, 11 buah UA yang menawarkan program berkaitan industri halal yang terdiri daripada penawaran kursus Sijil, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah. Sebagai contoh, Universiti Malaya baru sahaja menawarkan Sarjana Pengurusan Halal bermula Oktober 2023 di bawah Akademi Pengajian Islam. Selain itu, UiTM juga menawarkan Program Diploma Pengurusan Halal dan Sarjana.

16. KPT menyambut baik saranan yang diutarakan oleh YB Bentong agar diperbanyakkan kursus-kursus bersijil berkaitan autisme untuk menggalakkan lebih ramai jurupulih perubatan.

17. Suka saya perjelaskan di sini bahawa KPT melalui MQA sentiasa menggalakkan Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) menawarkan program terkini dan berinovasi bagi memastikan program-program yang ditawarkan berkualiti dan bertepatan dengan keperluan semasa.

18. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada ketika ini juga terdapat enam (6) program dalam bidang terapi cara kerja peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda yang ditawarkan di UKM dan UiTM, serta tiga (3) program pascasiswazah di UiTM. KPT juga melalui USM, UKM dan UPSI turut menawarkan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan iaitu Pendidikan Khas. Manakala Sarjana Pendidikan (Pendidikan Khas) ditawarkan di UM, USM, UKM dan UPSI. UPSI turut menawarkan program Doktor Falsafah dalam Pendidikan Khas.

19. Selain itu, Kementerian ini melalui UA sentiasa memastikan agar prasarana dan fasiliti yang terdapat di UA adalah selesa dan kondusif untuk semua pelajar termasuk pelajar autisme. Di UIA umpanya, Unit Perkhidmatan Kelainan Upaya (DSU) dan Perkhidmatan Perkhidmatan Kaunseling dan Kerjaya (CCSC) sentiasa memastikan kebajikan pelajar autisme yang mengikuti pengajian di UIA sentiasa terjaga. Setakat ini terdapat 20 orang pelajar autisme sederhana di UIA yang mengambil pelbagai bidang seperti Qur’an dan Sunnah dan termasuk juga dalam bidang IT, Kejuruteraan, Arkitek dan lain-lain.

Puan Yang di-Pertua,

20. Menjawab kepada YB Temerloh dan YB Kubang Pasu berkenaan penyusunan semula bidang-bidang yang disediakan di IPT, termasuklah kurikulum dalam pengajian Kejuruteraan, khususnya Semikonduktor supaya selari dengan keperluan sumber tenaga semasa di pasaran buruh dan juga kehendak industri, ingin saya kongsikan di sini bahawa KPT melalui MQA telah membangunkan dokumen jaminan kualiti sebagai rujukan piawaian dan panduan kepada Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) atau Education Provider dalam membangunkan program yang berkualiti.

21. Salah satu dokumen jaminan kualiti yang disediakan adalah Kod Amalan Akreditasi Program (Code of Practice for Programme Accreditation) yang merupakan rujukan standard dalam penilaian akreditasi. Antara standard yang ditetapkan sebelum sesuatu program diberi pertimbangan untuk penawaran ialah keperluan PPT untuk menjalankan analisa keperluan dari segi kajian keperluan pasaran dan kebolehpasaran graduan. Ini bagi memastikan program yang ditawarkan berkualiti dan bertepatan dengan keperluan industri.

22. Bagi kursus pengajian di bawah badan profesional pula, penawaran kursus pengajian berkaitan hendaklah memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Teknikal Bersama bagi memastikan kursus pengajian yang ditawarkan memenuhi Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualification Framework).

23. YB Kubang Pasu turut mencadangkan agar diadakan kolaborasi rapat antara IPT dan industri terutamanya dalam bidang semikonduktor. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, KPT kini sedang mengadakan sesi libat urus bersama syarikat-syarikat semikonduktor di Malaysia bagi mengenalpasti pengetahuan, kemahiran dan keperluan spesifik syarikat-syarikat tersebut.

24. Usaha ini akan dapat membantu menambahbaik kurikulum sedia ada. Ini juga akan membolehkan pihak Kementerian merangka intervensi seperti Industry Talent Bootcamp di mana para pelajar akan menjalani latihan intensif untuk mendapatkan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan. Pelajar-pelajar kemudiannya akan disalurkan kepada syarikat-syarikat tersebut mengikut pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi.

25. KPT melalui USM juga telah melancarkan projek rintis MOHE Research & Industry Infused Incubator (MRI3) Programme. Melalui inisiatif ini, sebuah Konsortium Elektrik & Elektronik (E&E) Universiti Malaysia yang terdiri daripada 19 universiti awam telah ditubuhkan pada tahun 2023 dan telah menandatangi MOU dengan 27 syarikat daripada sektor E&E untuk membangunkan bakat dengan kemahiran dipanggil sebagai dengan izin, sharp skill dan smart skill yang bertepatan dengan keperluan industri E&E yang merangkumi bakat bermula daripada ijazah pertama sehingga pasca-siswazah.

26. Selain itu, pada 25 Jun 2024 yang lalu, KPT telah mengadakan Sesi Meja Bulat bersama pihak Industri: E&E Industry Dialogue with the Minister of Higher Education bagi mendapat input dan pandangan mengenai needs and demands pihak industri terhadap graduan yang dikeluarkan oleh IPT tempatan. Dalam masa yang sama kita juga mendapatkan maklumbalas untuk penambaikan kurikulum agar lebih sesuai dengan kehendak industri.

Puan Yang di-Pertua,

27. Izinkan pula saya menghuraikan isu yang dibawa oleh YB Mas Gading berkenaan kualiti program yang ditawarkan di IPTS. Beliau menyatakan terdapat IPTS yang menawarkan kursus Diploma tetapi kualitinya adalah hanya bertaraf Sijil Kemahiran atau Pra-Diploma sahaja.

28. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, IPTS adalah dikawal selia oleh Kementerian ini melalui Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 [Akta 555] dan Peraturan-peraturan di bawahnya. Ini adalah untuk memastikan IPTS tempatan dapat berkembang dan menyediakan pendidikan berkualiti.

29. Sehubungan itu, IPTS hendaklah mendapatkan kelulusan pengendalian kursus pengajian daripada KPT sebelum ianya ditawarkan kepada pelajar. IPTS juga perlu memastikan kelayakan kemasukan pelajar memenuhi keperluan minimum Standard Program/ keperluan badan profesional/ syor MQA yang berkuat kuasa bagi pengambilan pelajar dalam tempoh tersebut atau kelayakan lain yang diiktiraf setara dengannya oleh Kerajaan.

Puan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Dewan sekalian,

30. Saya beralih pula kepada isu penyelidikan yang dibahaskan oleh YB Kemaman dan YB Indera Mahkota yang menyentuh berkenaan geran-geran dan dana penyelidikan kepada pensyarah. YB Kemaman menyarankan agar geran-geran tersebut tidak hanya diberikan kepada sekelompok pensyarah sahaja.

31. Kementerian ini sentiasa berusaha untuk meningkatkan kecemerlangan bidang penyelidikan di IPT dan telah menyediakan pelbagai geran penyelidikan kepada para pensyarah yang tidak dihadkan kepada kelompok penyelidik tertentu sahaja. Antara geran penyelidikan yang disediakan adalah Dana Penyelidikan Fundamental, Dana Universiti Penyelidikan, Dana Pemerkasaan Penyelidikan Bidang Nic Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) dan beberapa Dana Khas Penyelidikan lain yang turut dikawal selia oleh KPT.

32. Pemberian geran kepada penyelidik adalah berdasarkan kepada permohonan yang lengkap dan memenuhi syarat serta kriteria yang ditetapkan oleh KPT serta akan melalui proses penilaian dalam memastikan penyelidik yang layak untuk menerima sesuatu geran.

33. YB Indera Mahkota turut mengutarakan soalan berkenaan dana penyelidikan yang diterima oleh KPT dan MOSTI. Dalam konteks Kementerian Pendidikan Tinggi, seperti yang telah saya nyatakan sebentar tadi, terdapat beberapa program geran penyelidikan yang ditawarkan.

34. Cuma kalau saya boleh memahami apa yang cuba disampaikan oleh YB Indera Mahkota tadi berdasarkan pengalaman beliau yang berada di kementerian yang terbabit iaitu bagaimana kita ingin wujudkan kesalingan kerjasama di antara KPT dengan MOSTI dan itu juga yang ditekankan oleh YAB Perdana Menteri berkaitan dengan penyelidikan-penyelidikan yang dilakukan secara terpisah selama ini yang ianya dapat dilakukan kali ini secara bersama. Insyaallah ini adalah pendekatan baharu yang akan kita lakukan bagi memastikan supaya semua program-program yang diaturkan penyelidikan yang dibuat, kerana akhirnya penyelidikan yang dibuat di peringkat MOSTI sebagai contoh, ia akan pergi semula kepada pihak universiti kerana kebanyakan, lebih daripada 80 peratus asas itu akan kembali semula kepada penyelidik dan pensyarah daripada universiti.

Puan Yang di-Pertua

35. YB Paya Besar juga telah menyarankan agar diberi peruntukan untuk latihan dan kemahiran pensyarah. Suka saya nyatakan di sini bahawa ketika ini terdapat empat (4) program penajaan yang disediakan kepada pensyarah di UA iaitu Program Skim Latihan Akademik Bumiputera (SLAB), Skim Latihan Akademik IPTA (SLAI), Sub Kepakaran dan Pasca Kedoktoran untuk pensyarah melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

36. Dalam usaha untuk memartabatkan pendidikan tinggi negara di samping meningkatkan kepakaran dan kompetensi pensyarah UA seiring dengan teknologi dan keperluan semasa, KPT berhasrat untuk menyediakan lebih banyak penajaan di peringkat Program Sub Kepakaran dan Sabatikal di masa hadapan.

37. KPT kini sedang menyemak semula kemudahan penawaran dan syarat-syarat kelayakan baharu untuk program Pasca Kedoktoran dan tidak terhad kepada pensyarah berjawatan tetap sahaja.

38. Selain itu, YB Paya Besar turut mencadangkan diperkasakan lagi kolaborasi antara universiti dan industri. Beliau turut menyarankan agar diberi dana khas Future Ready Academia untuk pembangunan pensyarah.

39. Saya berterima kasih di atas keprihatinan Ahli Yang Berhormat terhadap pembangunan kemahiran pesyarah dan menyambut baik saranan yang telah diberikan. Bagi kolaborasi bersama industri, buat masa ini, antara inisiatif yang dilaksanakan oleh KPT adalah program CEO@Faculty. Dalam program ini, CEO daripada syarikat swasta dilantik menjadi mentor kepada universiti untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman dan kepakaran industri dengan para pensyarah dan juga mahasiswa.

40. Bagi meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran serta pengalaman pensyarah di dalam bidang masing-masing, para pensyarah yang terpilih akan dihantar ke industri selama enam (6) bulan melalui Program Sangkutan contohnya seperti Intel, Western Digital, Ericson Malaysia dan CISCO Malaysia (Sdn Bhd)

III. TVET KPT

Puan Yang di-Pertua

41. Perkara seterusnya yang ingin saya sentuh bagi menjawab soalan- soalan yang dikemukakan oleh YB Kluang, YB Sri Gading, YB Pekan dan YB Batu Gajah ialah berkaitan dengan TVET KPT.

42. Seperti yang kita sedia maklum, TVET ini berada di bawah Kementerian daripada YB Bagan Datuk iaitu oleh Timbalan Perdana Menteri yang menjadi Pengerusi TVETnya.

43. Oleh yang demikian, sebarang program yang diatur itu hendaklah secara bersama dengan kementerian-kementerian yang lain. Ini kerana di bawahnya terdapat beberapa kementerian yang turut berada merencana dan juga melaksanakan agenda-agenda yang terangkum di dalam TVET.

44. Dalam konteks universiti, kita memahami keperluan itu maka universiti perlu menjalankan analisa keperluan melalui Kod Amalan Akreditasi Program (COPPA) yang dibangunkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia sebelum sesuatu program diberi pertimbangan untuk penawaran.

45. Dalam pada itu juga, satu Pelan Transformasi Politeknik 2023-2035 dan Pemerkasaan Kolej Komuniti telah merangka critical reform agenda yang khusus dengan memperkasa sinergi TVET-industri melalui Pusat Teknologi dan Industry on Campus.

46. Seterusnya, sinergi JPPKK bersama pelbagai agensi dan syarikat seperti MIDA, MITI, PERKESO dan Talentcorp dalam menyalurkan bakat TVET kepada industri.

47. Dan dalam masa yang sama, pihak KPT juga telah membuat pelantikan 20 orang ahli Majlis Penasihat Industri serta program CEO@PolyCC dan CEO@faculty sebagai penghubung kerjasama bersama industri agar dapat melahirkan tenaga kerja seiring dengan keperluan semasa industri.

Puan Yang di-Pertua,

48. Saya berterima kasih kepada YB Sri Gading dan YB Pekan yang telah mengutarakan saranan agar diadakan promosi meluas diadakan tiada lagi stigma dalam masyarakat yang menganggap TVET adalah pilihan kedua. YB Batu Gajah pula telah membangkitkan persoalan strategi yang akan diambil untuk memperkukuhkan TVET.

49. Kementerian ini sememangnya proaktif dalam memperkasakan ekosistem TVET negara dan memastikan program yang ditawarkan adalah selari dengan kehendak semasa industri. Justeru, KPT telah menyediakan perancangan komprehensif bagi memperkasa TVET KPT melalui penyediaan Hala Tuju Transformasi Politeknik 2023- 2035 dan MTUN TVET Termaju 2030.

50. YB Batu Gajah juga telah bertanyakan strategi yang akan diambil untuk memperluaskan peluang latihan industri kepada mahasiswa. Kementerian ini sentiasa berusaha untuk memperkukuh dan memperluaskan peluang latihan industri (LI) kepada pelajar-pelajar di IPT tempatan.

51. KPT juga telah memperkenalkan perdekatan latihan industri berstruktur seperti program 2u2i, Work Based Learning dan Degree Apprenticeship Programme untuk memastikan pelajar mendapat manfaat maksimum dari pelaksanaan latihan industri. Kini, Kementerian sedang dalam proses untuk menambah baik Dasar Latihan Industri IPT sedia ada sejajar dengan perkembangan terkini dalam sistem pendidikan tinggi.

Puan Yang di-Pertua

52. Saya amat berterima kasih kepada YB Sri Gading yang telah menyarankan agar diperkenalkan program pembangunan kemahiran berserta pensijilan bagi golongan pekerja yang berpotensi berkembang ke industri baharu dan beliau memberi penekanan kepada anggota tentera yang telah tamat perkhidmatan.

53. Untuk makluman Ahli-ahli Dewan yang mulia ini, KPT sentiasa komited dalam memperkasakan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) kepada segenap lapisan masyarakat, termasuklah anggota tentera. Antara usaha yang dijalankan ialah KPT melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) iaitu kita sedang mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pertahanan. Ianya bertujuan untuk bekerjasama dalam membangunkan pelaksanaan projek khas Work-based Learning (WBL) 2.0: Pemetaan Kurikulum Program dengan Pengalaman dan Perkhidmatan Anggota Tentera. InsyaAllah, ini akan dapat membantu untuk membangunkan kemahiran anggota tentera kita.

IV. HAL-HAL BERKAITAN MAHASISWA

Puan Yang di-Pertua

54. Izinkan saya untuk menyentuh hal-hal yang berkaitan mahasiswa. Ini dibangkitkan oleh YB Kemaman, YB Temerloh, dan YB Tumpat. YB Kemaman dan YB Temerloh telah menyentuh satu isu yang penting yang harus diberi perhatian di kalangan mahasiswa kita, iaitu ketahanan mental serta sokongan psikososial kepada mahasiswa.

55. Masalah kesihatan mental di kalangan mahasiswa di IPT seperti kemurungan (depression), kebimbangan (anxiety) dan tekanan (stress) merupakan isu yang dihadapi oleh mahasiswa dan ianya boleh berpunca daripada pelbagai faktor seperti perubahan persekitaran, tekanan akademik, masalah keluarga dan lain-lain lagi.

56. Justeru, meningkatkan program psikososial di IPT adalah langkah penting bagi memastikan pelajar mampu menghadapi cabaran pembelajaran dengan lebih berkesan seperti sesi kaunseling, bengkel pengurusan stress, serta program intervensi awal akan dapat membantu mahasiswa dalam mengurus tekanan dan mengembangkan daya ketahanan diri mereka.

57. YB Tumpat telah bertanyakan sejauh mana pendedahan literasi dan advokasi politik dan undang-undang di kalangan mahasiswa selaras dengan hak mereka untuk menjadi pengundi dan menjadi calon pada usia 18 tahun.

58. Sebagai makluman, pada tahun 2012 dan 2019, AUKU dipinda bagi membenarkan pelajar menyertai dan terlibat secara aktif dalam politik, baik di dalam mahupun di luar kampus. Pindaan ini selari dengan inisiatif Undi 18, yang memperluas penyertaan generasi muda dalam proses demokrasi, walaupun AUKU sendiri tidak secara spesifik menyebut tentang hak mengundi pada usia 18 tahun.

59. Dengan wujudnya Undi 18 dan pindaan terhadap AUKU, kini pelajar yang berumur 18 tahun ke atas berpeluang untuk lebih aktif dalam politik, baik sebagai pengundi mahupun dalam kegiatan politik lain di kampus. Kementerian ini sentiasa cakna terhadap hak mengundi mahasiswa, di mana pada Sesi Akademik 2024/2025 baru-baru ini, mahasiswa telah diberi kelonggaran untuk mendaftar lewat bagi memberi ruang untuk mereka mengundi semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota tempoh hari.

60. Selain itu, antara inisiatif yang dilaksanakan oleh KPT adalah melalui penubuhan Kelab Pendidikan Pengundi di UA, Program Pendidikan Literasi Politik di IPT, Konvensyen Pemerkasaan Undi 18 yang telah diadakan pada Mac yang lalu, dan penubuhan Campus Election Committee (CEC) atau Jawatankuasa Pemilihan MPP (JPMPP) yang berfungsi sepertimana Suruhanjaya Pilihan Raya serta dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar.

V. IPTA BAHARU

Puan Yang di-Pertua,

61. Seterusnya, saya beralih kepada perkara-perkara berkaitan penubuhan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) baharu yang telah dibahaskan oleh YB Semporna, YB Tumpat, YB Tawau, YB Labuan, YB Kota Belud dan YB Betong.

62. YB Semporna, YB Tumpat dan YB Tawau telah mencadangkan agar dibina IPTA di kawasan masing-masing. Kementerian sememangnya sentiasa komited dalam menyediakan akses pendidikan kepada rakyat melalui penubuhan IPTA yang merangkumi Universiti Awam (UA), Politeknik dan juga Kolej Komuniti (KK).

63. Walaubagaimanapun, penubuhan sesebuah IPTA baharu haruslah diteliti sepenuhnya dari pelbagai aspek, antaranya:

i. Permintaan semasa yang merangkumi keperluan dari perspektif pelajar dan masyarakat semasa yang mesti seimbang dengan saiz populasi;
ii. Kecukupan dan kesediaan bekalan tenaga pakar dalam sesuatu bidang;
iii. Keupayaan menyediakan dan menyelenggara prasarana dengan baik;
iv. Kemandirian kewangan;
v. Prospek dan jenis program yang hendak ditawarkan;
vi. Risiko pertindihan (overlapping) dan sebarang ketidakpadanan dengan IPT serta program sedia ada; dan
vii. Penawaran program yang boleh dilaksanakan secara maya.

64. Berhubung dengan cadangan YB Semporna untuk ditubuhkan sebuah IPTA di Parlimen Semporna, maka suka saya menarik perhatian Ahli Yang Berhormat bahawa UMS telah merangka perancangan untuk mengembangkan pusat pembelajaran baharu di Semporna di bawah Pusat Pendidikan Fleksibel UMS (UMSFLEC). Antara program yang bakal ditawarkan adalah Program Pengurusan Pelancongan dan Program Akuakultur dan termasuk juga sekiranya terdapat keperluan dalam bidang-bidang yang terkait dengan keperluan bidang food security atau dalam bidang pertanian dan lain- lain lagi. Walau bagaimanapun, perkara ini tertakluk kepada perbincangan lanjut dengan pihak Kementerian dan agensi-agensi yang terbabit termasuk Kementerian Ekonomi.

65. Buat masa ini juga telah terdapat beberapa IPTA dan cawangan UA di Kelantan dan juga di Sabah. Ingin juga saya tegaskan bahawa trend penawaran kemudahan pendidikan tinggi ketika ini adalah secara hibrid iaitu secara fizikal dan maya. Ini bermakna pelajar boleh mengikuti pengajian di mana sahaja tanpa perlu berada di kampus secara fizikal.

66. Antara yang disebutkan termasuklah dari YB Betong tadi. Untuk makluman YB Betong iaitu politeknik yang sedia ada ini akan dinaik taraf ke Politeknik Konvensional iaitu kalau sebelum ini politeknik di Betong itu hanya bersifat METro yang kecil saiznya dan kita sedang merangka untuk menaikkan taraf politeknik yang berada di kawasan Betong itu.

VI. LAIN-LAIN

67. Saya juga ingin mengambil maklum mengenai perkara-perkara lain yang dibangkitkan. Ini termasuklah hal-hal berkaitan yuran pengajian, tentang kemasukan pelajar ke IPTA dan lain-lain dan juga persoalan tentang AUKU, tentang PTPTN, biasiswa dan bantuan kepada pelajar-pelajar yang menghadapi masalah kewangan mereka.

68. Izinkan saya juga menjawab perkara yang terkait Unified Examination Certificate (UEC) sebagai salah satu syarat memasuki IPTA yang dibangkitkan oleh YB Raub dan YB Temerloh.

69. Pihak Kementerian mengambil maklum bahawa terdapat pelajar yang memiliki kelayakan UEC berhasrat untuk menyambung pengajian di IPTA. Walaubagaimanapun, berdasarkan Pekeliling Ketua Pendaftar Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), KPM Bil. 2/2004, kelulusan Sijil UEC boleh digunakan untuk kemasukan ke IPTS sahaja.

70. YB Temerloh juga telah bertanyakan berkenaan bilangan pelajar yang digolongkan sebagai T15 di IPTA. Untuk makluman, sistem MyMohes di KPT merekodkan bilangan enrolmen pelajar warganegara mengikut pendapatan keluarga B40, M40 dan T20 di IPTA yang merangkumi UA, politeknik dan kolej komuniti. Berdasarkan sistem MyMohes KPT bilangan enrolmen pelajar warganegara mengikut pendapatan keluarga pada tahun 2023 sebenarnya majoritinya dari B40. Sebagai contoh, saya ambil dalam konteks universiti awam, kita mempunyai seramai 361,833 pelajar iaitu 66.4% keseluruhannya. Manakala di politeknik, kita mempunyai sebanyak 60,831 pelajar atau 76.5% peratus daripada B40 dan juga di Kolej Komuniti kita mempunyai 12,596 pelajar atau 75.8% peratus.

PENUTUP

Tan Sri Yang di-Pertua,

71. Sekali lagi pihak Kementerian mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas keprihatinan, perhatian dan sokongan berterusan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat terhadap usaha-usaha untuk memartabatkan pendidikan tinggi negara.

72. Segala pandangan, saranan dan pengamatan yang dikongsikan akan diberikan perhatian serius oleh KPT demi penambahbaikan. Perkara-perkara lain yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat yang tidak dapat saya sentuh kerana kesuntukan masa akan dijawab secara bertulis.

Sekian, terima kasih.

Muat Turun:

  pdf Teks Ucapan YBM - Ucapan Penggulungan Perbahasan Belanjawan 2025 Peringkat Dasar (309 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 5479
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 07 February 2025, 01:24:25.

sirim-logo