English translation not available for this content.

logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATO' SERI DIRAJA DR. ZAMBRY ABD KADIR
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN JERAYAWARA FESTIVAL IDEA PUTRAJAYA TAHUN 2024
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI

9 NOVEMBER 2024 (SABTU)


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera,

Salam Malaysia MADANI,

SALUTASI

(Disediakan secara berasingan oleh urus setia.)

PENDAHULUAN

1. Alhamdulillah, marilah kita menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita dapat berkumpul pada hari ini sempena Majlis Perasmian Jerayawara Festival Idea Putrajaya Tahun 2024.

2. Jika kita mengimbau kembali Majlis Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang berlangsung pada 12 Januari yang lalu, saya telah menyatakan hasrat untuk menganjurkan Festival of Ideas bagi mengumpulkan hasil-hasil penyelidikan dan maklumat kajian institusi pendidikan tinggi di samping pengaturan pelbagai platform keilmuan seperti seminar, persidangan akademik, dialog, simposium, bengkel dan sebagainya. Dalam masa yang sama, festival ini juga diharapkan dapat mengenalpasti dan memperkenalkan kearifan lokal dan wisdom tempatan.

3. Fast Forward ke bulan November ini, hasrat saya bakal menjadi realiti dengan penganjuran pengenalan Festival Idea Putrajaya atau Putrajaya Festival of Ideas Tahun 2024 pada 27 hingga 29 November 2024 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

4. Sehubungan itu, bagi tujuan menguar-uarkan penganjuran festival ini kepada orang ramai, Jerayawara Festival Idea Putrajaya Tahun 2024 diadakan pada hari ini dan esok iaitu pada 9 hingga 10 November 2024 bertempat di IOI City Mall Putrajaya.

5. Untuk memberi gambaran tentang apa yang bakal dihidangkan semasa acara kemuncak Festival Idea Putrajaya di PICC kelak, Jerayawara selama dua (2) hari ini akan menyajikan beberapa aktiviti dari MyIdeas Connect: Innovation, Art and Creative Ideas Showcase. Saya difahamkan penyertaan pempamer melibatkan 20 industri, lima (5) Institusi Pendidikan Tinggi dan pelbagai aktiviti menarik.

6. Untuk makluman semua, Festival Idea Putrajaya Tahun 2024 bertujuan untuk menghimpunkan pemimpin pemikir, pakar, pembuat dasar, ahli akademik, industri dan masyarakat umum dalam satu platform berprestij bagi membincang dan berkongsi idea-idea inovatif serta penyelesaian terhadap cabaran-cabaran semasa yang dihadapi oleh negara dan dunia.

7. Festival ini juga dianjurkan untuk mengembalikan kegemilangan budaya ilmu dan melahirkan masyarakat yang menghargai ilmu. Dalam masa yang sama, semua idea dan penyelidikan dibawa dan dikumpulkan dalam satu platform untuk dikongsikan kejayaan negara dengan masyarakat dunia dan merangka masa depan negara melalui “The Malaysian Success Story” dan mengangkat Putrajaya sebagai "City of Ideas".

8. Penganjuran Festival Idea Putrajaya Tahun 2024 adalah satu inisiatif signifikan bagi memartabatkan pendidikan tinggi serta memperkukuh imej Malaysia sebagai pusat kecemerlangan wacana intelektual dan inovasi.

9. Melalui festival ini, kita akan menggalakkan inovasi dan penyelesaian kreatif untuk menangani cabaran global seperti ketidaksamaan ekonomi, pembangunan mampan dan perubahan iklim. Inilah masa untuk menggerakkan perubahan besar sejajar dengan peranan Malaysia sebagai pemimpin dalam mencapai kesejahteraan dunia.

10. Lebih dari itu, festival ini akan menjadi medan pertemuan antara pelbagai pihak, termasuk pemimpin pemikiran, pakar industri, pembuat dasar, ahli akademik, dan masyarakat umum. Mereka akan berkongsi idea-idea inovatif yang berpotensi diterjemahkan menjadi penyelesaian kepada cabaran semasa di peringkat nasional dan global.

11. Dalam erti kata lain, festival ini akan menjadi pemangkin inovasi, bukan hanya memberi impak kepada Malaysia tetapi juga di peringkat global.

Hadirin sekalian,

12. Selain menjadi platform perbincangan intelektual yang serius, Festival Idea Putrajaya Tahun 2024 juga memberi peluang untuk mengetengahkan kearifan lokal atau kebijaksaan tempatan yang tidak kurang hebatnya dan wajar diberi peluang berkongsi idea-idea mereka untuk dimanfaatkan pelbagai pihak dari segenap lapisan masyarakat.

13. Kerjasama antara akademia, industri, dan komuniti menjadi asas penting dalam festival ini. Inovasi memerlukan penglibatan pelbagai pihak untuk mencipta solusi yang memajukan masyarakat. Festival ini juga memberi peluang untuk meneliti idea-idea baharu yang berpotensi memberi impak positif kepada pembangunan negara.

14. Dengan penglibatan syarikat pemula, pelabur, dan sektor strategik, kita akan membentuk ekosistem inovasi yang memberi manfaat bukan sahaja kepada Malaysia, tetapi juga kepada dunia.

15. Dalam konteks pembangunan masyarakat MADANI, kebijaksanaan tempatan sangat penting kerana ia berakar pada tradisi, nilai, dan budaya kita. Kebijaksanaan ini mampu menjadi pemangkin untuk membentuk masyarakat yang berdaya tahan dan berakhlak mulia.

16. Dalam dunia yang semakin kompleks dan mencabar, kita perlu memanfaatkan setiap sumber kekuatan, termasuk kekayaan warisan budaya kita. Jika digunakan dengan bijak, warisan ini boleh menjadi aset strategik dalam menghadapi cabaran global yang semakin rumit.

17. Festival Idea Putrajaya 2024 dilihat mampu meletakkan Malaysia di peta dunia sebagai hab kecemerlangan intelektual dan inovasi. Kita menyasarkan penyertaan dari pelbagai negara dan menjadikan Putrajaya sebagai pusat dialog intelektual serantau.

18. Ini membuktikan bahawa Malaysia bukan sahaja negara yang berkembang maju, tetapi juga sebuah pusat pemikiran yang menyumbang kepada penyelesaian cabaran global.

19. Inspirasi untuk menganjurkan Festival Idea Putrajaya 2024 diambil daripada festival idea bertaraf dunia seperti Leeds International FOI, York FOI, IF Oxford Science and Ideas Festival, serta Aspen Ideas Festival.

20. Setelah meneliti pelbagai model yang berjaya, IF Oxford Science and Ideas Festival telah dipilih sebagai inspirasi kerana ia paling sesuai dengan matlamat kita untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi dan kecemerlangan intelektual di rantau ini.

21. Selaras dengan aspirasi negara untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi dan berasaskan pengetahuan menjelang tahun 2030, Festival Idea Putrajaya Tahun 2024 adalah langkah strategik yang menyokong pelbagai agenda nasional seperti Malaysia MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

22. Penganjuran festival ini bukan sekadar acara perbincangan, tetapi mencerminkan komitmen Malaysia untuk menggalakkan budaya inovasi dan kreativiti dalam kalangan rakyat, di samping mempromosikan wacana intelektual yang inklusif, progresif, dan berwawasan.

Hadirin yang dihormati,

23. Pelbagai program menarik akan dianjurkan sepanjang Festival Idea Putrajaya Tahun 2024, menampilkan kepakaran institusi pendidikan tinggi dan industri serta mengetengahkan pemain utama dalam bidang inovasi.

24. Antaranya termasuk Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS) dan MyIDEAS Connect yang memberi ruang untuk peserta memperkenalkan idea- idea baharu dan membincangkan penyelesaian inovatif dalam konteks pembangunan negara.

25. Sebagai contoh, Forum Kisah Kejayaan Idea Malaysia yang menunjukkan dengan semangat yang tinggi dan idea yang kreatif, ramai di antara mereka telah berjaya mengubah landskap industri tempatan, membuka peluang pekerjaan, dan memberi inspirasi kepada golongan muda lain untuk mengejar impian mereka.

26. Forum Kisah Kejayaan Idea Anak Muda Malaysia yang membuktikan bahawa usia muda bukanlah penghalang untuk mencapai kejayaan besar. Dengan semangat berani, daya inovasi yang tinggi, dan keinginan untuk mencabar norma, mereka telah membuktikan bahawa idea kreatif dan berani boleh memberi impak yang besar dalam pelbagai bidang. Golongan muda Malaysia terus menjadi agen perubahan dalam masyarakat, dan kisah-kisah mereka memberi inspirasi kepada ramai orang untuk terus berusaha dan berinovasi demi masa depan yang lebih baik.

27. Pameran Inovasi dan Idea Kreatif akan mempamerkan produk serta idea inovatif daripada institusi pendidikan tinggi dan pemain industri. Selain itu, Karnival Kerjaya Madani juga dapat membuka peluang bagi para graduan dan khalayak ramai untuk mendapat pekerjaan dan meneroka peluang bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing.

28. Program-program ini dijangka memberi impak besar bukan sahaja kepada peserta, malah kepada seluruh ekosistem inovasi di Malaysia.Festival ini juga membuka peluang besar kepada komuniti akademia, industri, dan masyarakat umum untuk menjalin kerjasama strategik.

29. Dengan kerjasama mantap antara pihak berkepentingan, negara dapat meningkatkan keupayaan dalam inovasi dan teknologi, memacu pertumbuhan ekonomi dan memastikan Malaysia terus relevan di peringkat global.

Para hadirin yang dihormati,

30. Saya mengambil peluang ini untuk menjemput semua untuk turut serta dan memeriahkan lagi penganjuran Festival Idea Putrajaya Tahun 2024 yang bakal berlangsung pada 27 hingga 29 November 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di mana pelbagai program akan dianjurkan bagi menggalakkan inovasi dan meraikan percambahan idea.

31. Festival ini bakal menjadi titik permulaan kepada acara tahunan yang akan mengukuhkan imej Malaysia sebagai negara berasaskan pengetahuan dan inovasi, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

32. Ia juga akan menjadi platform untuk kita meneroka peluang baharu dalam bidang pendidikan, teknologi, dan ekonomi, seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara.

PENUTUP

33. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon kerjasama dan sokongan padu dalam merealisasikan penganjuran Festival Idea Putrajaya Tahun 2024. Semoga usaha ini mendapat keberkatan dan kejayaan yang berterusan.

34. Akhir kata, dengan lafaz bismillahirahmannirahim, saya merasmikan
Majlis Perasmian Jerayawara Festival Idea Putrajaya Tahun 2024.

Sekian, Wabillahitaufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Muat Turun:

  pdf Teks Ucapan YBM - Majlis Perasmian Jerayawara Festival Idea Putrajaya Tahun 2024 (210 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 3332
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 12 February 2025, 10:29:14.

sirim-logo