TEKS UCAPAN
YB DATO' SERI DIRAJA DR. ZAMBRY ABD KADIR
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI
MAJLIS SIMBOLIK PEMBUKAAN AKAUN BANK
MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR SEMPENA AGENDA PEMERKASAAN MAHASISWA
20 NOVEMBER 2024 | RABU
Bismillahir Rahmanir Rahim.
[SALUTASI]
Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.
1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya, dapat kita berkumpul dan bertemu pada hari ini di Majlis Simbolik Pembukaan Akaun Bank Majlis Perwakilan Pelajar/Kesatuan Mahasiswa Sempena Agenda Pemerkasaan Mahasiswa.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
2. Alhamdulillah, hari ini saya dimaklumkan bahawa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar/ Kesatuan Mahasiswa bagi Sesi 2024/2025 telah selesai dilaksanakan di seluruh kampus Universiti Awam. Lebih membanggakan lagi, pemilihan MPP kali ini dilaksanakan sepenuhnya oleh pelajar dengan peratusan mengundi di kesemua universiti majoritinya melebihi 65%. Ini menunjukkan literasi politik di dalam kampus telah bertambah baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.
3. Bagi pihak Kementerian Pendidikan Tinggi, saya ingin mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2024/2025 yang baharu dipilih yang berada dihadapan saya pada hari ini kerana telah diberikan mandat oleh mahasiswa untuk memimpin di kalangan keseluruhan mahasiswa di universiti masing-masing
Saudara saudari yang dihormati sekalian,
4. Seperti mana semua sedia maklum, Fungsi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) adalah untuk memastikan suara dan hak pelajar didengari serta diwakili dalam pelbagai hal yang berkaitan dengan kebajikan mahasiswa dan pembangunan universiti. MPP bertindak sebagai badan perwakilan yang menghubungkan pihak pentadbiran universiti dengan pelajar.
5. Gunakan peluang ini untuk memberi maklum balas dan menyuarakan pandangan mengenai dasar-dasar universiti yang melibatkan kepentingan pelajar, seperti dasar akademik, kebajikan dan fasiliti kampus. Kita di Kementerian terbuka dan akan terus melibatkan MPP melalui Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan dalam apa jua program dan libat urus yang dianjurkan.
6. Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) merupakan suatu badan tertinggi pelajar yang diiktiraf sebagai medium rasmi dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971. Keahlian MPP dipilih melalui system demokrasi pilihanraya kampus atau dikenali sebagai Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) dan meletakkan mahasiswa sebagai pentadbir PMPP , calon dan warga pemilihnya.
7. Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) yang dahulunya dinamakan pilihanraya kampus merupakan satu wahana demokrasi yang seharusnya diraikan serta disuburkan dalam kalangan mahasiswa selaras dengan semangat pelaksanaan Undi 18 yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Pemimpin mahasiswa
seharusnya mendokong penuh usaha untuk meninggikan kesarjanaan serta menjunjung nilai-nilai keilmuan sesuai dengan tujuan asal penubuhan univerisiti yang menjadi tunjang pendidikan tinggi Negara.
Saudara dan saudari , anak-anak mahasiswa sekalian,
8. Saya melihat agenda pemerkasaan telah mula subur secara organik di semua UA, maka tanggungjawab yang lebih besar kepada kita semua selepas ini untuk mempersiapkan mereka dengan ilmu dan aqal bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai insan khalifah. Kemahiran dan penglibatan dalam mengurus maslahah memerlukan kekuatan ilmu serta keupayaan akal. Ini penting kerana mereka merupakan bakal pemimpin masa depan yang memainkan peranan penting dalam memimpin kemajuan negara. Mereka juga bertanggungjawab memastikan tadbir urus negara dilaksanakan dengan adil dan saksama demi kesejahteraan masyarakat.
Hadirin yang dihormati sekalian.
9. Hari ini merupakan hari yang bersejarah kerana setelah 52 tahun Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 telah dipinda bagi memberi ruang dan peluang kepada agenda pemerkasaan mahasiswa yang lebih progresif. Selaras dengan pindaan akta ini, Majlis Perwakilan Pelajar dan Badan Pelajar diberikan autonomi dalam pengurusan kewangan dan berkuatkuasa 1 Oktober 2024, semua Majlis Perwakilan Pelajar dan Badan Pelajar dibenarkan untuk membuka akaun bank masing-masing.
10. Untuk makluman hadirin, pembukaan akaun bank Majlis Perwakilan Pelajar merupakan inisiatif untuk memperkukuhkan autonomi dan tanggungjawab pelajar dalam menguruskan dana kewangan dengan baik dan berkesan. Selepas ini, pemimpin mahasiswa akan berdepan dengan cabaran besar mengurus dan mentadbir kewangannya sendiri malah akan turut sama mengharungi dunia hari ini yang tidak stabil (volatility), tidak pasti (uncertainty), rumit (complexity) dan kabur (ambiguity) atau dikenali sebagai VUCA.
11. Harapan saya agar pemimpin mahasiswa mempersiapkan diri dengan asas kepemimpinan yang unggul, kemahiran komunikasi yang efektif, nilai amanah dan integriti, serta penguasaan literasi pengurusan kewangan yang cekap. Semua ini penting untuk melahirkan pemimpin yang berwibawa, berdaya saing, dan mampu mengemudi masa depan negara dengan cemerlang.
12. Namun, harus disemat dalam diri, setiap amanah yang diberikan perlu disertai dengan tanggungjawab yang jitu serta mematuhi tata kelola yang telah ditetapkan. Ini adalah asas kepada kepemimpinan yang berintegriti dan pentadbiran yang telus, memastikan setiap tindakan diambil dengan penuh amanah demi kebaikan bersama.
Hadirin yang dikasihi sekalian,
13. Saya bagi pihak kementerian, beriltizam untuk terus menyokong agenda pemerkasaan mahasiswa dengan menyediakan ekosistem pendidikan yang inklusif dan berkualiti. Selari dengan hala tuju landasan KPT bagi memastikan kemenjadian mahasiswa bitara, kami terus komited memastikan mereka dilengkapi dengan pengetahuan, kemahiran, dan nilai sahsiah murni untuk menghadapi cabaran dunia global yang semakin kompleks.
14. Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada Jabatan Pendidikan Tinggi dan Yayasan Perkasa Siswa di atas segala sokongan dan komitmen bagi memastikan Agenda Pemerkasaan Mahasiswa berjaya dilaksanakan. Terima kasih juga kepada RHB Islamic Bank kerana telah menjadi rakan Strategik Inisiatif MySiswa.
Sekian, Wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Muat Turun:
- Last updated on .
- Hits: 779