English translation not available for this content.

logo kpt black

SIARAN MEDIA

LAWATAN KERJA MENTERI PENDIDIKAN CHINA KE MALAYSIA PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK PENDIDIKAN TINGGI NEGARA


Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menerima kunjungan hormat daripada Menteri Pendidikan Republik Rakyat China, TYT Huai Jinpeng di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini sebagai inisiatif strategik negara itu memperluas serta memperkukuh jalinan kerjasama sektor pendidikan tinggi antara Kuala Lumpur-Beijing bersempena sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China.

Kedua-dua rakan sejawat tersebut telah bertukar pandangan mengenai landskap dan hala tuju pendidikan tinggi negara serta potensi kerjasama strategik yang boleh diteroka terutamanya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sosiobudaya dan kolaborasi industri bagi pelajar-pelajar Malaysia melibatkan perusahaan-perusahaan yang diterajui oleh syarikat-syarikat dari Negara China, antaranya Huawei dan Geely.

Turut dibincangkan kerjasama penyelidikan dalam sektor teknologi maju seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran, teknologi tenaga hijau, mikrocip serta automotif. Kedua-dua pemimpin berpendapat bahawa kerjasama dalam sektor penyelidikan ini boleh dipertingkatkan lagi melalui penubuhan sebuah pusat penyelidikan peringkat nasional antara kedua-dua buah negara.

Selain itu, kedua-dua Menteri juga menggalakkan kerjasama strategik terutama antara institusi pendidikan tinggi kedua-dua negara dalam program-program pembangunan sains dan teknologi, perkongsian sumber, data teknikal, fasiliti, latihan, penyelidikan serta dialog ketamadunan.

Sesi itu turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Chinese Service Centre For Scholarly Exchange (CSCSE) dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang akan bekerjasama bagi memudahkan pertukaran maklumat dan kepakaran tentang rangka kerja kelayakan negara, proses akreditasi, mempromosikan kerjasama antarabangsa untuk pengiktirafan kelayakan dan kemahiran yang diperoleh melalui pendidikan tinggi.

Kerjasama berkenaan akan turut memperkukuh lagi program mobiliti akademik, perkongsian penemuan penyelidikan dan amalan terbaik dalam bidang jaminan kualiti sektor pendidikan tinggi Kuala Lumpur-Beijing.

Turut sama Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman; serta Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Haji Mohd Zahari Ismail.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
PUTRAJAYA
26 APRIL 2024

Muat Turun:

   pdf Siaran Media- Lawatan Kerja Menteri Pendidikan China Ke Malaysia Perkukuh Kerjasama Strategik Pendidikan Tinggi Negara (94 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 4526
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.