Permohonan Fasa Kedua UPUOnline® Dan Program Jom Masuk U 2024 (JMU2024)

English translation not available for this content.

logo kpt black

SIARAN MEDIA

PERMOHONAN FASA KEDUA UPUOnline® DAN
PROGRAM JOM MASUK U 2024 (JMU2024)

Permohonan Fasa 2 UPUOnline® bagi kemasukan pelajar Sesi Akademik 2024/2025 ke program Asasi, Sijil, Diploma & Ijazah Sarjana Muda di 20 Universiti Awam (UA), 36 Politeknik, 105 Kolej Komuniti dan 4 Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) akan dibuka mulai hari ini (29 April 2024) hingga 9 Jun 2024. Permohonan ini hanya dibuka bagi program pengajian yang tidak bertemu duga dan/atau ujian sahaja.

Semua calon yang berkelayakan adalah dipelawa mengambil peluang ini bagi menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi. Terdapat sebanyak 504 buah program pengajian ditawarkan kepada lepasan SPM dan 1,114 buah program pengajian ditawarkan kepada lepasan STPM/Setaraf oleh UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA seluruh negara.

Calon boleh membuat pembelian Nombor PIN UPUOnline® melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 28 Februari 2024 sebelum mengemukakan permohonan. Kaedah Bayaran Proses UPUOnline® di BSN melalui 350 Kaunter Cawangan BSN, 700 Automatic Teller Machine (ATM) BSN dan Perbankan Internet myBSN. BSN akan mengeluarkan Nombor Pin UPUOnline® berserta salinan resit pembayaran. Calon juga dinasihati untuk pastikan slip pembayaran sebagai bukti sah pembelian disimpan untuk rujukan. Bagi calon yang telah membuat pembelian nombor PIN pada Fasa 1 juga boleh mengemaskini permohonan ketika Fasa 2 ini.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menganjurkan Program Jom Masuk U 2024 (JMU2024) bermula 4 Mei 2024 hingga 9 Jun 2024 di sepuluh
(10) zon seluruh negara seperti di lampiran.

Penganjuran JOM MASUK U 2024 ini bertujuan untuk mempromosi maklumat mengenai program pendidikan yang ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi di bawah KPT yang merangkumi Universiti Awam (UA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik, Kolej Komuniti (KK) serta penglibatan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA). JOM MASUK U 2024 menyasarkan kumpulan pelajar yang menduduki peperiksaan SPM, STPM, Matrikulasi, Asasi, STAM dan Diploma/Setaraf.

Majlis Perasmian JOM MASUK U 2024 akan dilaksanakan di UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar manakala Majlis Penutupan JOM MASUK U 2024 pula akan diadakan di UiTM Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu.

Sepanjang program JOM MASUK U 2024, calon-calon lepasan SPM dan STPM/Setaraf turut boleh memohon dan mengemaskini permohonan UPUOnline® yang dibuka pada permohonan Fasa 2 mulai 29 April 2024 (12.00 tengah hari) hingga 09 Jun 2024 (5.00 petang).

Pelbagai aktiviti menarik ditawarkan sepanjang JOM MASUK U 2024 berlangsung antaranya pameran, sesi konsultasi UPUOnline®, konsultasi penajaan/ biasiswa/ pinjaman dan bantuan kewangan pendidikan tinggi, terjah booth IPTA, cabutan bertuah, campus tour, persembahan pelajar, aktiviti bersama alumni dan banyak lagi.

KPT ingin menjemput semua pihak khususnya pelajar, ibu bapa, penjaga, guru, kaunselor dan orang awam agar turut serta dalam JOM MASUK U 2024 dan mengucapkan selamat maju jaya bagi pemohon UPUOnline® Sesi Akademik 2024/2025.

Sebarang pertanyaan berkenaan dengan permohonan UPUOnline® tersebut boleh dimajukan ke Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA secara terus di alamat berikut:-

BAHAGIAN KEMASUKAN PELAJAR IPTA
JABATAN PENDIDIKAN TINGGI
ARAS 4, MENARA 2, JALAN P5/6, PRESINT 5
62200 PUTRAJAYA, WILAYAH PERSEKUTUAN PUTRAJAYA

No. Tel: 03-8684 2363
E-mel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Facebook: KEMASUKAN BPKP JPT
Instagram: @KEMASUKANBPKA
TikTok: BKPAUPU

LAMPIRAN

SENARAI SEPULUH (10) ZON PROGRAM JOM MASUK U 2024 (JMU2024)
4 MEI 2024 HINGGA 9 JUN 2024

JMU2024

Kementerian Pendidikan Tinggi
29 APRIL 2024

Muat Turun:

  pdf Permohonan Fasa Kedua UPUOnline® Dan Program Jom Masuk U 2024 (JMU2024) (667 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 30638
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.