English translation not available for this content.
logo kpt black

SIARAN MEDIA

KPT BERSAMA BANTERAS FAHAMAN RADIKALISME DEMI KEDAULATAN NEGARA


Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal telah menyempurnakan Seminar Pencegahan Radikalisme dan Ekstremisme: Cabaran di Kalangan Belia di Dewan Seri Perdana, Lahad Datu hari Ini.

Pelaksanaan seminar ini bertujuan untuk memberikan platform dan ruang kepada belia terutama golongan pelajar dan masyarakat setempat untuk lebih memahami dan mendalami implikasi fahaman radikal dan ekstrem, memperkasa dan melengkapkan generasi muda dengan kemahiran yang sewajarnya dalam menghadapi ancaman radikalisme dan ekstremisme di samping membina serta mengukuhkan kerjasama strategik antara agensi.

Seramai 500 orang peserta hadir menjayakan seminar pada hari ini yang terdiri daripada pelajar-pelajar universiti awam, politeknik dan kolej komuniti serta penglibatan secara langsung daripada belia komuniti setempat.

Seminar ini juga turut menampilkan penceramah, panel dan moderator yang pakar dalam topik yang dibincangkan iaitu wakil daripada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara, Majlis Keselamatan Negara dan Universiti Malaysia Sabah.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhasrat meneruskan pelaksanaan program- program seumpama ini dengan skala yang lebih besar dan lebih menyeluruh di peringkat KPT khususnya kolaborasi strategik antara kepakaran dan penyelidik di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bersama agensi-agensi penguatkuasaan, keselamatan, pertahanan serta kawalan sempadan.

KPT juga sentiasa bersedia untuk bekerjasama dan terlibat secara langsung dalam keanggotaan jawatankuasa atau taskforce di peringkat nasional bagi merangka dasar dan polisi, penggubalan akta, pindaan peraturan, pembangunan garis panduan malah dalam pembentukan modul berkaitan pencegahan, kawalan mahupun pemulihan daripada fahaman pelampau dan aktiviti radikalisme.

Kementerian yakin penganjuran program ini amat wajar bagi pengukuhan jati diri, pembentukan sahsiah kendiri di samping penerapan nilai-nilai kerohanian dan insaniah serta menyemai semarak patriotisme di kalangan belia terutama warga IPT.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
18 November 2023

Muat Turun:

pdf Siaran Media Bersama Banteras Fahaman Radikalisme Demi Kedaulatan Negara.pdf (91 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 6908
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Saturday 24 February 2024, 09:25:25.