English translation not available for this content.

logo kpt black

SIARAN MEDIA

KPT TAWAR 24,500 TEMPAT PENGAJIAN DI POLITEKNIK, KOLEJ KOMUNITI DAN UITM SEMPENA PROGRAM SETAHUN BERSAMA KERAJAAN MADANI


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menawarkan 24,000 tempat pengajian secara tawaran terus ke program peringkat Diploma dan Sijil di Politeknik atau Kolej Komuniti terpilih, manakala 500 tempat lagi di lima (5) buah program Pra Diploma Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk para pemohon yang layak terutama dari golongan B40 bersempena program Setahun Bersama Kerajaan MADANI (SBKM). Program yang akan berlangsung selama tiga (3) hari bermula 8 hingga 10 Disember itu bertempat di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Selain itu, para graduan dan pelajar daripada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang berminat untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka turut dipelawa ke reruai KPT di SBKM untuk mengetahui mengenai pelbagai kursus peningkatan kerjaya yang akan ditawarkan melalui Program Global Outsourcing Talent bagi Pensijilan Kompetensi.

Turut menanti para pengunjung terutamanya para murid dan lepasan sekolah yang ingin mendapatkan maklumat ke menara gading nanti ialah perkhidmatan konsultasi pendidikan tinggi melalui UPUOnline oleh Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi.

“Genggam Ijazah Tanpa Ke Universiti” turut menjadi fokus KPT bagi menarik minat para pengunjung terutamanya yang sudah memiliki pengalaman kerja untuk mendapatkan maklumat dan konsultasi berkenaan Program Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (Accreditation of Prior Experiential Learning - APEL) serta Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) kelolaan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut membuka kaunter bagi memberi penerangan mengenai perkhidmatan dan produk pembiayaan pendidikan tinggi di samping menawarkan diskaun sehingga 15% kepada para peminjam yang ingin membuat bayaran balik.

KPT turut membawa pelbagai pameran yang memaparkan pencapaian inovasi dan penyelidikan sektor pendidikan tinggi negara ke reruai di SBKM nanti antaranya Padi Putra, STEM Gamification, dan pelbagai lagi.

Malah, KPT turut akan membawa dua (2) buah bas kesihatan bergerak dari UiTM dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk para pengunjung SBKM mendapatkan konsultasi dan rawatan secara percuma berkaitan mata dan juga pergigian daripada para pakar kesihatan yang bertugas.

Bertemakan “IPT Pemangkin Pembangunan Negara MADANI”, KPT berharap para pengunjung yang hadir akan mendapat manfaat serta maklumat yang berguna berkenaan sumbangan serta peranan yang dimainkan oleh kementerian dalam memperkasa dan mempersada sektor pendidikan tinggi negara melalui pelbagai pengisian dan aktiviti yang dipamerkan di reruai KPT (reruai No. 17) nanti.

Kementerian Pendidikan Tinggi
7 Disember 2023

Muat Turun:

pdf Siaran Media KPT Setahun Bersama Kerajaan MADANI.pdf (327 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 10172
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 11 October 2024, 07:37:56.

sirim-logo